Mahu kikis sikap berpuak

Kota Bharu: Calon Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa mahu kikis sikap berpuak-puak dalam kepimpinan FAM sekiranya terpilih menerajui badan itu.
Beliau menegaskan nekad wujud semangat bekerjasama secara berpasukan dalam kalangan kepimpinan demi pembangunan sukan bolasepak negara.
Untuk itu katanya, beliau tidak mempunyai masalah untuk bekerja dengan mana-mana pihak, malah tidak terikat dengan golongan tertentu.
"Suka saya tegaskan, satu misi saya ialah mahu bawa keharmonian, kerja berpasukan dan saling menghormati peranan semua Exco yang dipilih.
"Justeru saya tidak terikat dengan sesiapa dan boleh bekerja dengan sesiapa pun kerana FAM memerlukan barisan kepimpinan yang mampu beri kerjasama sepenuhnya dalam membangunkan bolasepak," katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebooknya, hari ini.
Annuar berkata, beliau juga tidak terkesan dengan kenyataan pihak tertentu yang kelihatan seperti menolak bekerja dengannya kerana perwakilan bebas memilih siapa pemimpin yang difikirkan layak.
"FAM perlu tenang dan kekalkan sifat saling hormat menghormati dan saya tidak akan menekan sesiapa, berkumpulan, sogokan dan juga ugutan.
"Saya percaya badan gabungan bijak membuat pilihan sendiri dan corak mana yang kita mahu dalam menguruskan perjalanan FAM," katanya.
Akhbar hari ini melaporkan calon Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi yang meminta ahli gabungan untuk tidak mengundinya sekiranya Annuar menjadi Presiden.
Memetik kenyataannya, beliau memberitahu hanya selesa bergandingan dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk memimpin FAM.

Anak Jong Nam bimbang dibunuh

BEIJING – Kim Han-sol, anak lelaki Kim Jong-nam menolak tawaran melanjutkan pengajiandi Universiti Oxford berikutan bimbang dibunuh di United Kingdom.
Beliau menjalani kehidupan dengan berhati-hati kerana bimbang dibunuh oleh skuad pembunuh kejam sebelum pembunuhan bapanya di Malaysia minggu lalu.
Lantaran itu beliau menolak untuk ke United Kingdom meskipun mendapat tempat di Oxford pada September lalu.
Teman wanitanya juga dikatakan menuntut di sana.
Penolakan itu dibuat selepas mendapat amaran daripada pegawai-pegawai keselamatan China yang pemimpin Korea Utara akan membunuh beliau dan bapanya.
Han-sol yang mengikuti pengajian politik di Paris selama tiga tahun sebelum ini berjaya mendapat tempat di Oxford dilihat sebagai bakal pemimpin jika regim Korea Utara runtuh.
Akhbar The Mail difahamkan China meningkatkan keselamatan Han-sol, adiknya Sol Hui, 18 dan ibu beliau Ri Hye Kyong.
Kediaman keluarga Jong-nam dikatakan dilengkapi dengan kawalan polis bersenjata sejak tiga bulan lalu sebelum pembunuhan abang kepada Kim Jong-un.
Malah, keluarga itu dinasihatkan tidak keluar dari Macau dan China, yang mana Korea Utara boleh menghantar skuad pembunuh kejam atas alasan politik.
Bagaimanapun, Jong-nam tidak mengendahkan amaran itu dengan datang ke Malaysia kerana beliau dikatakan mempunyai perempuan simpanan.
“Korea Utara sangat bergantung kepada bantuan China dan Jong-un tidak akan membunuh anak saudaranya di tanah China,” kata sumber Beijing.
Tetapi di Britain, risiko kepada keselamatan Han-sol lebih besar. – MalaysiaGazette

'Bawa polis, SPRM saya boleh jawab'

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan pasukan bertindak khas ditubuh kerajaan bagi menyiasat kerugian negara hasil aktiviti dagangan tukaran matawang asing (forex) pada 1990-an.
Bagaimanapun bekas perdana menteri itu segera menjelaskan, kesediaan itu dibuat jika kerajaan juga menubuhkan pasukan bertindak khas bagi menyiasat skandal 1MDB serta dana bernilai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian Datuk Seri Najib Razak.
"(Bawa) datanglah polis, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk jumpa saya, boleh saya jawab, boleh tanya..

"Nak dakwa saya di mahkamah pun OK, tapi dakwa Najib juga," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menghadiri majlis sambutan tahun baru Cina di Flet Seri Johor di Cheras - Malaysiakini

Kelindan dihukum gantung

Muar : Seorang kelindan lori dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Muar hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah di Taman Puteri, Kluang tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Muhammad Jamil Hussin menjatuhi hukuman itu ke atas R Karuppu Samy, 36, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Muhammad Jamil dalam penghakimannya berkata keterangan tertuduh yang tidak mengetahui kewujudan kotak hitam mengandungi dadah itu adalah jelas penafian semata-mata.
Tertuduh didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 657 gram di sebuah rumah beralamat No 46, Jalan Sutera 2/6, Taman Puteri, Kluang dekat Muar pada pukul 12.10 tengah malam, 20 Mac tahun lepas.
Pendakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Seramai 12 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi manakala tertuduh diwakili peguam Salmi Hamdan Sabran (HE). - Bernama

Semua jenazah sudah dituntut waris

Johor Bahru: Semua lapan jenazah remaja berbasikal dirempuh kereta di Jalan Lingkaran Dalam di sini, awal pagi tadi sudah dituntut waris masing masing.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata dua orang mangsa dilaporkan kritikal kini berada di ICU iaitu Mohamed Shamizal IqmalAbdullah, 16 dan Muhd Nazri Mahmudi, 13, sedang dirawat dan dipantau oleh pakar Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Mangsa yang meninggal dunia ialah Mohd Azhar Amir, 16, Muhammad Firdaus Danish Mohd Azahar, 16, Haizad Kasrin, 16, Muhammad Shahrul Nizam Maruddin, 14, Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14, Muhamad ShahrulIzzuwan Azzuraimee, 14, Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 13, Fauzan Halmijah 13.
Mangsa lain yang sedang menerima rawatan ialah Muhd Zulfadhli Yusri, 19, Muhd Fitri Muhd Fatoni, 17, Mohd Farham Che Mat, 16, Muhammad Abdul Samad, 16, Muhd Arif Salman 15dan Arasshat Abdullah, 14.
Dalam kemalangan 3.30 pagi itu, lapan remaja maut, lapan cedera, termasuk dua kritikal selepas dirempuh kereta dipandu wanita berusia 22 tahun di Jalan Lingkaran Dalam.- Harian Metro

BN Menang DUN Tanjong Datu

Lundu: Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu dengan majoriti 6,643 undi.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu Hamsein Attar di Dewan Masyarakat Lundu kira-kira jam 7.55 malam tadi.
Kemenangan ini bermakna calon BN Puan Sri Jamilah Anu menewaskan dua pencabarnya masing-masing Johnny Aput yang mewakili Parti Reformasi Negeri (STAR) dan Rapelson Richard Hamit dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru.
Keputusan itu juga menyaksikan Jamilah mendapat 6,573 undi manakala calon dari STAR mendapat 108 undi dan calon PBDS Baru mendapat 130 undi menjadikan kedua-duanya hilang deposit.
Hamsein berkata, secara keseluruhan 6,892 pengundi keluar menunaikan tanggungjawab hari ini.
Jamilah kini sah bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu menggantikan Allahyarham suaminya Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia 11 Januari lalu.
Sementara itu anak Jamilah, Azizul Annuar Adenan, 26, berterima kasih kepada pengundi Tanjong Datu yang masih memberi kepercayaan kepada ibunya untuk meneruskan rancangan Allahyarham ayahnya.
"Saya bersyukur kerana kemenangan masih kekal kepada BN dan saya akan membantu ibu meneruskan usaha dan rancangan ayah (Allahyarham Adenan)," katanya ketika ditemui.- Harian Metro