Lundu: Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu dengan majoriti 6,643 undi.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu Hamsein Attar di Dewan Masyarakat Lundu kira-kira jam 7.55 malam tadi.
Kemenangan ini bermakna calon BN Puan Sri Jamilah Anu menewaskan dua pencabarnya masing-masing Johnny Aput yang mewakili Parti Reformasi Negeri (STAR) dan Rapelson Richard Hamit dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru.
Keputusan itu juga menyaksikan Jamilah mendapat 6,573 undi manakala calon dari STAR mendapat 108 undi dan calon PBDS Baru mendapat 130 undi menjadikan kedua-duanya hilang deposit.
Hamsein berkata, secara keseluruhan 6,892 pengundi keluar menunaikan tanggungjawab hari ini.
Jamilah kini sah bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu menggantikan Allahyarham suaminya Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia 11 Januari lalu.
Sementara itu anak Jamilah, Azizul Annuar Adenan, 26, berterima kasih kepada pengundi Tanjong Datu yang masih memberi kepercayaan kepada ibunya untuk meneruskan rancangan Allahyarham ayahnya.
"Saya bersyukur kerana kemenangan masih kekal kepada BN dan saya akan membantu ibu meneruskan usaha dan rancangan ayah (Allahyarham Adenan)," katanya ketika ditemui.- Harian Metro
0 comments:
Post a Comment