Ekspres Perdana labur RM16 Juta untuk 16 bas baru

Laili (berdiri dua kanan) menyerahkan sumbangan zakat kepada anak yatim pada program Iftar Ramadan dan majlis berbuka puasa Ekspres Perdana
Bachok: Ekspres Perdana menambah sebanyak 16 buah bas baru pada hujung tahun ini membabitkan nilai pelaburan berjumlah RM16 juta.

Pengarah Urusan Ekspres Perdana, Laili Ismail berkata, penambahan 16 bas jenis dua tingkat itu bagi memenuhi keperluan untuk laluan baru selain menggantikan operasi bas yang sudah berusia lima tahun.

Katanya, sudah menjadi komitmen dan inisiatif kepada pengurusan bagi memastikan Ekspres Perdana dapat meningkatkan perkhidmatan terbaik kepada penggunanya yang kini mencapai seramai 75,000 orang setiap bulan.

"Ekspres Perdana kini mempunyai 65 buah bas dengan laluan di semua ibu negeri di Semenanjung Malaysia dan dengan penambahan 16 bas baru pada penghujung tahun ini, ia menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 81 bas.

"Kita mengutamakan keselamatan dan keselesaan kepada pelanggan bas Ekspres Perdana sejajar dengan slogannya Selamat dan Selesa," katanya ketika ditemui selepas program Iftar Ramadan dan majlis berbuka puasa Ekspres Perdana di Mukim Teluk Mesira di sini, semalam.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan zakat kepada seramai 40 orang anak yatim dari Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (YAATIM) Taman Sabariah Pengkalan Chepa selain penduduk miskin yang dikenal pasti dari beberapa kampung di kawasan sekitar daerah ini.
Laili beramah mesra dengan golongan warga emas yang hadir ke Iftar Ramadan dan majlis berbuka puasa Ekspres Perdana.

Laili berkata, Ekspres Perdana yang dimiliki Tiara Pesona Sdn Bhd (Tiara Pesona) mengutamakan aspek keselamatan kepada penumpang dengan memastikan pemandu bas berkenaan adalah mereka yang terlatih.

Katanya, tapisan ketat selain pemeriksaan dalaman dilakukan pihaknya keatas pemandu bas Ekspres Perdana bagi memastikan mereka tidak terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

"Kita memantau pergerakan dan tahap kelajuan bas menerusi pemasangan alat GPS pada bas Ekspres Perdana bagi memastikan pemandu memandu secara berhemah dan mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Kursus pemanduan berhemah turut diadakan bagi meningkatkan tahap kemahiran pemandu bas Ekspres Perdana dan prestasi mereka sentiasa dipantau dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, program Iftar Ramadan dan majlis berbuka puasa ini adalah diadakan setiap tahun dengan meraikan anak yatim dan golongan asnaf serta penduduk setempat dari kawasan sekitar Pengkalan Chepa, Kota Bharu dan daerah ini.

Katanya, sumbangan zakat ini diharap dapat meringankan beban golongan berkenaan selain memupuk semangat kekeluargaan dengan masyarakat yang memerlukan, sempena dengan Ramadan.

0 comments:

Post a Comment