Alfredo Gonzalez dilantik Pengurus TRW

Kota Bharu: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) hari ini menampilkan beberapa watak baru bagi mengemudi pasukan The Red Warriors untuk mengharungi saki baki perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Naib Presidennya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Negeri, Datuk Rosmadi Ismail dalam satu kenyataan media hari ini berkata satu rombakan dibuat memlibatkan beberapa jawatan penting di peringkat tertinggi pasukan itu.

Katanya, Alfredo Gonzales yang sebelum ini menyandang jawatan Pengarah Teknikal pasukan hari ini dilantik selaku pengurus baharu bagi menggantikan tempatnya yang akan bertindak selaku Ketua Kontinjen, selepas ini.

Manakala, penolong pengurus yang juga Naib Presiden KAFA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah masih kekal tetapi dengan jawatan Penolong Ketua Kontinjen.

"Jawatan Ketua Jurulatih kekal menjadi milik Zahasmi Ismail dan jawatan penolong serta pembantu penolong jurulatih juga turut dikekalkan.

“Bagi mengharungi baki perlawanan yg dirasakan semakin mencabar maka KAFA dan pengurusan pasukan perlu membuat perubahan dan penambahbaikan dengan mengambil pendekatan lebih profesional.

“Setiap individu yang berada dalam pasukan perlu memberi komitmen 100 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut perlantikan itu, Rosmadi berkata penerapan teknik bola sepak Amerika Latin dalam pasukan yang dibawa masuk oleh Gonzales pasti menuntut perubahan dalam setiap aspek pentadbiran pasukan.

“Pengurus pasukan merangkap pengarah teknikal berperanan dalam merancang, menyediakan dan mengadakan modul latihan. Beliau diberi tanggungjawab penuh dan akan dibantu ketua jurulatih dalam menyediakan satu pasukan mantap yang mampu bersaing dalam baki Liga Super dan kempen Piala Malaysia, musim ini.

“Malah, mereka akan bekerjasama dalam merencana dan mengimplementasikan setiap perkara melibatkan pasukan, bermula daripada sekarang,” katanya.

0 comments:

Post a Comment