Pengetuanya, Ab Khabir Ab Ghani berkata, seramai136 pelajar yang memperoleh keputusan 5 Agregat (5A) dan ke atas dalam SPM dan 15 pelajar cemerlang mendapat 2.0 PNGK STPM dan ke atas menerima sijil graduan muda sebagai pengiktirafan atas kecemerlangan mereka.
Katanya, pendekatan mengiktiraf pelajar cemerlang dalam SPM dan STPM memberi kesan dalam meningkatkan pencapaian membanggakan kepada SMKKB sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan yang menduduki tempat pertama peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas dan kelima di peringkat negeri Kelantan.
"SMKKB terus melakar sejarah apabila berjaya mempamerkan pencapaian terbaik dan konsisten dalam prestasi keputusan SPM dan STPM dengan lulus 100 peratus setiap tahun, malah mampu mengekalkan kedudukan tempat pertama di peringkat PPD Pasir Mas.
"Bagi peringkat negeri Kelantan, kedudukan tempat kelima sesuatu yang membanggakan bagi warga SMKKB selepas empat Sekolah Berasrama Penuh (SBP)," katanya ketika ditemui selepas Majlis Graduasi Kali Ke-12 SMKKB di Hotel Renaissance di sini, Sabtu lalu
Sebahagian daripada pelajar cemerlang SPM 2016 yang menerima sijil graduan muda pada Majlis Graduasi SMKKB di Hotel Renaissance Kota Bharu. |
Pada majlis graduasi itu, anugerah khas diberikan kepada Pelajar Terbaik SPM 2016, Nur Ilya Maisarah Zahri yang memperoleh 10 Agregat (10A); Pelajar Terbaik STPM 2016, Nurizzati Mohd Zawawi (3.34 PNGK) dan Tokoh Kepemimpinan Pelajar 2016, Wan Muhammad Afiq Ikmal Wan Mohd Lutpi.
Menurut Ab Khabir, kejayaan yang dicapai oleh SMKKB kerana wujudnya kerjasama dan sokongan semua warga sekolah serta ibu bapa dalam melihat kemajuan dan pencapaian terbaik untuk kejayaan anak mereka dalam peperiksaan berkenaan.
Malah katanya, ibu bapa kepada pelajar cemerlang turut hadir bersama-sama meraikan kejayaan anak mereka dalam majlis graduasi SMKKB yang diadakan gilang gemilang setiap tahun sebagai tanda pengiktirafan terhadap kecemerlangan pelajar dalam SPM dan STPM.
"Pengiktirafan kepada pelajar cemerlang SPM dan STPM sebagai graduan muda SMKKB pada peringkat awal hanya diadakan di sekolah tetapi bermula pada tahun 2015, ia dianjurkan di hotel terpilih di negeri ini.
"Sebenarnya penganjuran majlis graduasi di hotel diadakan bagi menyuntik semangat dan motivasi kepada pelajar SMKKB untuk berlumba-lumba sesama mereka mencapai kecemerlangan dalam SPM dan STPM.
"Tambahan lagi penganjuran majlis graduasi SMKKB di hotel mendapat sokongan dan penajaan daripada syarikat swasta dan korporat serta agensi kerajaan dalam menjayakan program yang dilaksanakan oleh sekolah ini.
"Kita amat hargai sumbangan dan sokongan syarikat swasta, korporat dan agensi kerajaan yang bekerjasama dalam menyokong program kecemerlangan pendidikan di peringkat sekolah kerana ia mampu menyumbang kejayaan pelajar," katanya.
0 comments:
Post a Comment