Kembar antara yang ditahan positif Methampetamine

KOTA BHARU: Pasangan kembar berusia 25 tahun antara yang ditahan dalam Ops Perdana yang dilakukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di daerah ini sejak semalam sehingga pagi tadi.

Pengarahnya, Rohayu Ahmad berkata, dua beradik‎ lelaki itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Panchor, Pengkalan Chepa, di sini.

Katanya, ketika serbuan, dua beradik kembar itu sedang khayal menghisap dadah sebelum bertindak melarikan diri selepas menyedari kedatangan anggotanya.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua mereka positif dadah jenis Methamphetamine.

"Mereka mendakwa mengambil dadah jenis pil kuda untuk menambahkan tenaga ketika bekerja sebagai pelayan di salah sebuah kedai makan, di sini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang remaja berusia 17 selepas dilaporkan sendiri oleh bapanya.

"Ketika ditahan remaja yang tidak bersekolah itu tidak mengaku mengambil dadah namum selepas saringan air kencing, dia positif pil kuda," katanya ketika ditemui di Pejabat AADK Kota Bharu, di sini, hari ini.

Dalam operasi itu, AADK Kelantan menahan 72 penagih berusia antara 17 hingga 49 tahun dalam serbuan di sekitar Panchor, Chempaka dan Pengkalan Chepa, di sini hasil risikan dan maklumat orang awam.

Mengulas lanjut, Rohayu berkata, mereka yang ditahan akan diserahkan kepada pihak polis dan seterusnya ditempatkan di pusat pemulihan dadah.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata sehingga Febuari lalu, seramai 5,427 orang kena pengawasan (OKP).

"AADK dengan kerjasama pihak berkuasa lain akan terus mengandakan usaha bagi mengesan saki baki penagih terutama di sekitar kawasan penagihan tertinggi di negeri ini, Kota Bharu," katanya.

0 comments:

Post a Comment