DHPP bakar akhbar Nan Yang Siang Pau

KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Kelantan mengadakan bantahan aman terhadap akhbar berbahasa Cina yang menyiarkan karikatur menghina Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bantahan bermula jam 9.30 pagi itu disertai lebih 50 ahli Deqan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dan turut membakar akhbar Nan Yang Siang Pau sebagai simbolik bantahan.

Naib Ketuanya, Mohd Arif Abdullah berkata, bantahan yang diadakan adalah peringatan kepada akhbar berkenaan agar tidak mengulangi perbuatan itu walaupun sudah mengeluarkan kenyataan maaf.

"Pemuda PAS bersama penyokong hari ini, menyatakan tidak puas hati terhadap kebiadapan pihak Nanyang Siang Pau yang sengaja mengeluarkan karikatur menggambarkan seorang ulamak dengan memakai serban dan menanam sentimen kebencian.

"Mereka (akhbar) lama di negara ini sepatutnya tahu menjaga sensitiviti agama dan tidak mudah mengeluarkan sebarang terbitan yang boleh menimbulkan kemarahan masyarakat," katanya ketika ditemui sebelum mengadakan gimik bantahan di Dataran Tambatan Diraja, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi DHPP Pusat, Lim Guan Seng dan Setiausaha DHPP Kelantan, R.Hareetaran

Sementara itu, Guan Seng berkata pihaknya kecewa dengan tindakan akhbar berbahasa Cina itu.

Beliau yang juga Pengerusi DHPP Kelantan berkata, perkara itu sepatutnya tidak berlaku kerana ia jelas menghina dan mencetuskan perasaan tidak puas hati kepada masyarakat majmuk di negara ini.

"Kita harap perkara ini tidak berulang dan menjadi pengajaran kepada semua pada masa akan datang," katanya.

Semalam, Nanyang Siang Pau dilaporkan sudah memohon maaf mengenai perkara itu dan mengakui penyiaran kartun itu adalah tidak wajar untuk tatapan umum.

"Pihak kami juga telah menarik balik kartun sama yang disiarkan di laman berita Nanyang Siang Pau, iaitu eNanyang.my," menurut kenyataan itu.

Akhbar berkenaan Sabtu lalu menimbulkan kemarahan masyarakat Islam dengan menyiarkan karikatur dua monyet yang disamakan kepada Abdul Hadi dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Kedua-dua monyet berkenaan digambarkan sedang bertenggek di atas dahan sebuah pokok yang diberi label 'Akta 355'.

0 comments:

Post a Comment