Dewan Pemuda PAS Pusat cabar Rafizi kemuka bukti

Sewaktu menghadiri satu majlis makan malam anjuran satu parti di Kelantan pada 24 Disember 2016, YB Rafizi Ramli dengan yakinnya telah berucap antara lain, "..minggu depan saya akan dedahkan isu balak di Kelantan.. " disambut dengan tepukan gemuruh oleh hadirin yang ada.

Sudah tentu pihak-pihak yang telah lama menunggu bahan untuk menyerang kerajaan Kelantan cukup teruja dengan janji "minggu hadapan" ini oleh seorang arkitek Langkah Kajang, yang bijak menghurai fakta (dan auta?).

Namun sayangnya "minggu depan" itu tidak kunjung tiba hingga ke hari ini. Rupanya ia hanyalah satu janji Santa Claus di malam Krismas. 

Ia hanya hadir meletakkan patung-patung mainan untuk menggembirakan anak-anak kecil yang buta kira-kira politik.

Justeru, apabila orang yang sama berkata bahawa "dua minggu lagi saya dedahkan nama pemimpin PAS yang menerima dana dari 1MDB.. " saya terasa sedikit sedih dan gusar, adakah sempat dalam hayat hidup kita ini menunggu "dua minggu itu"?

Jika "satu minggu" pun belum lagi tiba dengan jarak waktu mendekati setengah tahun, entah bilakah "dua minggu" itu akan tiba..?

Adakah selepas Pandan bertukar wakil rakyatnya? Atau adakah selepas Sungai Buluh menerima penghuni baru? Harapan saya, cepat-cepatlah tiba "dua minggu" itu.

Ahmad Fadhli Shaari

0 comments:

Post a Comment