Sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 24 April ini, seorang guru berasa terpanggil untuk menceritakan kisahnya mendidik Sultan Muhammad V ketika di bangku sekolah.
Bekas guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail I di Kota Bharu, Seman@Kamarulzaman Hassan, 72, berkata baginda tidak diberikan layanan istimewa ketika berada di bangku sekolah.
Katanya, pernah pada satu ketika beliau menegah pengawal keselamatan yang cuba membantu baginda, sebagai seorang murid kecil, mengangkat meja dan kerusi.
"Saya menegah pengawal tersebut kerana ia merupakan satu bentuk didikan kepada baginda dan Alhamdulillah, baginda dapat menuruti arahan yang saya keluarkan," Seman dipetik sebagai berkata ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Lembah Sireh di Kota Bharu.
Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara pada 24 April ini.
Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan pada 12 Disember tahun lepas.
Beliau juga mendedahkan bahawa bonda Sultan Muhammad V, Tengku Anis, pertama kali menghantar anakandanya itu ke seolah dengan membawa rotan ketika berjumpa dengan guru besar.
Seman berkata, Tengku Anis berpesan kepada guru besar agar merotan anakandanya itu jika melanggar arahan pihak sekolah.
"Saya juga sering menyelitkan nasihat dalam bentuk agama ketika mendidik baginda dan rakan-rakannya dalam kelas kerana saya anggap murid-murid sama seperti anak saya sendiri," katanya.
Seman mengajar selama sembilan tahun di SK Sultan Ismail I pada 1976-1985.
Seman yang kini lumpuh separuh badan akibat serangan angin ahmar berkata baginda masih mengingatinya walaupun telah lama mereka tidak bersua muka.
Ini terjadi semasa banjir pada 2014.
"Ketika itu, kebetulan baginda sedang meninjau keadaan banjir di sekitar Kota Bharu dan terserempak dengan anak saya yang bekerja sebagai anggota bomba.
"Baginda bertanyakan khabar mengenai diri saya dan pada sebelah malamnya sebuah pacuan empat roda datang ke rumah dan menyerahkan bantuan makanan yang dikirimkan baginda," beliau dipetik sebagai berkata.
0 comments:
Post a Comment