Tumpat: Seorang kanak-kanak malang yang menghidap kanser mata sejak beberapa tahun lalu menghembuskan nafas terakhir selepas 17 hari tidak sedarkan diri.
Aminah Mohammad Amin, 5, meninggal dunia kira-kira jam 1.30 pagi tadi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini, di sisi ibunya, Norima Mohd Nuzi, 37, dan bapanya Mohammad Amin Ahmad, 37.
Norima berkata anak ketiga dari empat beradik itu mula menunjukkan perubahan melalui mesin hayatnya yang tiba-tiba menurun bacaannya pada jam 10 pagi semalam.
"Ketika itu saya berada di sebelahnya dan sedang mengurut anggota badannya sebelum bacaan mesin hayatnya tiba-tiba menurun.
"Keadaan itu berterusan sehingga awal pagi tadi dan sebagai ikhtiar terakhir doktor ada bertanyakan saya sama ada ingin melakukan rawatan awal pemulihan kardiopulmonari (CPR) namun saya menolak kerana tidak ingin menyakiti anggota badannya dan kami reda dengan pemergiannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pasir Pekan Tengah di sini.
Aminah dimasukkan ke HUSM pada 5 Mac lalu sebelum menjalani dua pembedahan membuang cecair di bahagian kepala pada 11 dan 16 Mac kerana dipercayai sel kanser sudah merebak dan selepas itu beliau terus tidak sedarkan diri dan hanya sesekali menggerakkan kaki dan jari tangan sahaja.
Kanak-kanak itu menghidap kanser mata sejak berusia enam bulan yang menyebabkan kedua-dua mata kanak-kanak ini tidak dapat melihat.
Aminah menjalani pembedahan membuang mata kirinya pada 2014 manakala mata kanannya mengecut akibat rawatan kemoterapi dan turut dibuang tahun lalu menyebabkan kedua-duanya tidak dapat melihat lagi.
Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Padang Pohon Tanjung di sini jam 10.30 nanti.
0 comments:
Post a Comment