KAFA kekal Zahasmi

Kota Bharu: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengekalkan Ketua Jurulatihnya Zahasmi Ismail untuk meneruskan saingan pasukan itu musim ini.

Setiausaha KAFA, Datuk Ismail Md Noor berkata, pihak pengurusan tidak berminat untuk mendapatkan khidmat jurulatih luar bagi membantu memperkuatkan barisan kejurulatihan.

Katanya, KAFA berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan Zahasmi malah berani mengambil risiko dengan meremajakan pasukan.

"Banyak bakat muda yang diperkenalkan oleh Zahasmi dan percaturan itu menjadi dn menunjukkan hasil yang memberangsangkan dan konsisten ketika perlawanan.

"Sumbangan dan persembahan yang dipamerkan mereka begitu memuaskan walaupun masih cetek pengalaman berbanding pemain senior seperti Mohd Badhri Radzi, Indra Putra Mahayuddin dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

"Prestasi Zahasmi juga begitu cemerlang walaupun tempoh mempersiapkan pasukan musim ini terlalu singkat malah ideanya mengabungkan pengalaman pemain senior berjaya mengembalikan reputasi pasukan digeruni lawan lain," katanya.

Mengulas mengenai hasrat Zahasmi yang mahukan Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa bagi kali kedua untuk memohon membawa jurulatih antarabangsa, Ismail berkata ia sekadar cadangan.

"Kita yakin dengan kemampuan jurulatih tempatan dan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dalam menguruskan pasukan.

"Malah, KAFA bangga pencapaian Kelantan ketika ini berada di kedudukan keenam dengan 16 mata apabila bangkit daripada kekalahan kelima di laman sendiri dengan mencipta kemenangan bergaya menewaskan Pulau Pinang (5-1) di Batu Kawan, Sabtu lalu," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan ketua jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail menghubungi bekas Presiden Persatuan KAFA, Tan Sri Annuar Musa untuk membantu pasukan itu dengan membawa jurulatih antarabangsa.

Annuar yang juga selaku pengerusi Al Hamra yang menaja pasukan itu berkata beliau akan mempertimbangkan perkara itu melalui perbincangan bersama pengurus pasukan, Datuk Rosmadi Ismail dan Presiden KAFA, Datuk Affandi Hamzah.

0 comments:

Post a Comment