SHAH ALAM: "Ini serangan peribadi ketiga dalam tempoh dua bulan terhadap saya," demikian respons bekas calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud.
Beliau ditanya mengenai gambar mesra bersama seorang lelaki mirip Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari yang tular di media sosial.
"Saya anggap Pilihan Raya Umum (PRU) sudah sangat hampir. Tidak kiralah siapa yang ada dalam gambar atau video yang mereka dakwa itu saya, ini adalah pencerobohan privasi utama dalam kehidupan individu itu.
"Saya sedih budaya politik kita telah melangkau sehingga tahap ini. Saya tiada masa untuk melayan serangan ini ataupun menyimpan dendam," katanya menerusi aplikasi WhatApps, sebentar tadi.
Terdahulu tersebar empat keping gambar mesra seorang wanita berambut panjang dan berpakaian warna hitam menyerupai Dyana dan seorang lelaki yang sedang minum bersama dua individu lain di sebuah restoran.
Sementara itu, jelas Dyana lagi, ketika ini beliau sedang memberi tumpuan kepada kerja dan perkhidmatannya kepada rakyat terutama penduduk Teluk Intan.
Buat masa ini, Pusat Komuniti DAP Teluk Intan sedang berusaha meningkatkan dana sebanyak RM10,000 untuk Pusat Pembangunan Wanita untuk wanita di Teluk Intan.
"Kami juga sedang meningkatkan kutipan sebanyak RM2,000 lagi untuk menyiapkan sebuah jeti yang sangat diperlukan oleh 18 keluarga nelayan di Kampung Belakang Kilang Padi," katanya lagi.
Pada PRK Teluk Intan Pada 2014, calon BN, Datuk Mah Siew Keong berjaya menewaskan Dyana. - Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment