FMLLP tidak tahu mengurus Liga Malaysia - Annuar Musa

KOTA BHARU: “Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) tidak faham sepenuhnya cara menguruskan Liga Malaysia (Liga M),” katanya, Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata demikian bagi membidas kenyataan yang dibuat oleh Pengarah FMLLP, Kevin Ramalinggam yang akan mengambil tindakan memotong mata pasuka yang mempunyai masalah pembayaran gaji.

Katanya, mereka hanya mahu menghukum, sedangkan tugas pengurusan dalam mencari dana serta tajaan tidak diutamakan sehingga pasukan yang bertanding terumbang-ambing.

"Benar kata Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bahawa FMLLP sendiri tidak faham berkenaan pengurusan Liga M dan mereka sendiri gagal mencapai sasaran tajaan yang ditetapkan.

 "MP Silva (Media Partners & Silva) yang kononnya membeli hak liga tidak bayar seperti dijanjikan, duit hadiah mengikut kedudukan liga, Piala FA dan Piala Malaysia dibayar tidak menentu, termasuklah sumbangan untuk program pembangunan," katanya dalam entri Facebook terbarunya, sebentar tadi.

Sebelum ini, lima pasukan termasuk dua dari Liga Super kemungkinan bakal dikenakan hukuman pemotongan mata hari ini apabila FMLLP mendedahkan pasukan terbabit masih gagal melangsaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai.

Selepas tempoh panjang diberikan termasuk pemberian baki geran tahunan tahun lalu sebanyak RM500,000 kepada pasukan Liga Super dan Liga Perdana (RM250,000) oleh FAM pada 14 April lalu, FMLLP merasakan sudah tiba masanya untuk mereka bertindak.

Menurut Annuar, jika betul FMLLP tetap menjalankan pemotongan mata, maka merekalah sepatutnya yang paling layak untuk dihukum.

Katanya, tindakan memotong mata memang mudah, namun ia akan menjadikan pasukan terbabit lebih parah dan boleh menyebabkan penajaan semakin merosot.

"Saya minta FMLLP adakan perbincangan atau forum secara terbuka membabitkan isu ini (potong mata) dan bersedia untuk mengupas soal gaji dan daya saing pasukan dalam Liga M.

"Dari dulu lagi saya cakap liga kita perlukan penelitian secara menyeluruh, selain model liga perlu diperbaiki supaya ia menjadi lebih berdaya saing. Liga adalah satu model perniagaan yang perlu dibentuk dan dijaga dengan baik.

"Model sekarang bergantung pada ihsan dan kuasa individu tertentu dan tanpa mereka dalam pasukan kantung menjadi kering, malah banyak pasukan yang bergantung ihsan kerajaan negeri dan bila tidak dibantu maka persatuan jatuh miskin dan hal ini terjadi pada pasukan musim ini seperti Selangor," katanya.



0 comments:

Post a Comment