Pil kuda bernilai RM4.7 juta dirampas

KOTA BHARU: Pembawa bot tambang ditahan bersama 474,000 pil kuda bernilai RM4.7 juta di sebuah rumah di Jalan Pekan Lama, Rantau Panjang, kelmarin.

Suspek berusia 50-an itu ditahan oleh Polis Kelantan dalam serbuan jam 7.15 petang sekaligus menjadikannya rampasan terbesar untuk tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad, berkata ketika serbuan dilakukan, suspek sedang memunggah bekalan berkenaan dari perahu ke rumah tidak bernombor di tepi pengkalan haram berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, polis menemui tiga guni yang  mengandungi pil kuda.

"Menerusi serbuan itu, kita merampas 55.3 kilogram atau 474,000 bijil pil kuda dengan nilai keseluruhan sebanyak RM4.7 juta.

"Ini adalah rampasan terbesar polis Kelantan pada tahun ini dan hasil ujian air kencing terhadap suspek berkenaan adalah negatif," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Din berkata, pihaknya percaya bekalan terbabit diperoleh dari Thailand untuk dijual di sekitar Kelantan sehingga Terengganu.

"Kita masih membuat siasatan terperinci bagi mengenalpasti dalang sebenar dan mengesan mereka yang terbabit.

"Dengan upah yang diprolehi sebanyak RM200 hingga 300 tidak berbaloi apabila dia tahan reman selama tujuh hari bermula Khamis lalu dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

0 comments:

Post a Comment