Tiga pelajar miskin dapat biasiswa lanjut pelajaran ke Mesir

KOTA BHARU: Tiada perkataan yang dapat menggambarkan betapa gembiranya tiga pelajar miskin apabila mereka dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar, Mesir.

Menurut Nor Syafikah Mohd Yusof, 19, dia bersyukur apabila Yayasan Amal Datuk Zul Wisma (YADZW) sudi untuk menanggung perbelanjaan dia dan dua lagi kawannya di sana.

Beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama (A) Maahad Ar-Rahmah, di sini menganggap peluang itu adalah berkat doa dan solat hajat yang dilakukannya setiap hari.

Katanya, dia pernah putus semangat untuk melanjutkan pelajaran selepas ayahnya diserang angin ahmar tahun lalu.

"Ayah dulu bekerja sebagai pengawal keselamatan tetapi terpaksa diberhentikan selepas diserang strok dan pada masa itu saya amat sedih kerana merasakan impian untuk menimba ilmu di luar negara sudah musnah.

"Sejak daripada itu, saya hanya melakukan solat sunat hajat meminta agar nasibnya berubah namun pada minggu lalu saya menerima berita gembira oleh pihak yayasan yang sudi menghantarnya dan menaja sepanjang empat tahun pengajian saya di sana.

Beliau yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang Ilmu Lughah di Universiti berkenaan berterima kasih kepada pihak yayasan kerana membantu menyempurnakan impiannya.

"Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak kerana membantu dan dengan peluang yang diberi ini, saya akan manfaatkan sehingga saya menjadi seorang ustazah satu masa nanti," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan berkenaan, Datuk Zulkepli Mohamad berkata penajaan ketiga pelajar itu dipilih berdasarkan keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) selain kesungguhan mereka untuk mengembangkan ilmu agama.

Katanya, setiap pelajar berkenaan menerima tajaan bernilai RM20,000 dan tiket penerbangan.

"Selain Syafikah, dua lagi kawannya Nurul Husna Zainudin dan Siti Azela Nordin masing-masing 19 turut dibantu kerana masa depan mereka masih cerah.

"Penajaan ini adalah kali pertama dilakukan pihak yayasan dan ia bertujuan membantu anak daripada golongan asnaf yang bercita-cita tinggi mahu mengubah nasib keluarga mereka," katanya.

0 comments:

Post a Comment