Pak Wan kayuh basikal jelajah Malaysia lagi

KOTA BHARU: Pak Wan atau nama sebenar Wan Hashim Wan Mahmood, 71, sekali lagi mahu mencatat nama dalam Malaysia Book of Record menerusi jelajah kayuhan basikal.

Beliau berkata, misi kayuhannya kali ini berbeza daripada yang pernah dilakukan beberapa tahun lalu kerana ia turut ditemani wakil media.

Katanya, untuk siri jelajah Kembara Kemudi kali ini ia membabitkan jarak sejauh 3,000 kilometer (KM) 8 April nanti.

"Kami akan bermula di sini dan akan menjelajag empat wilayah Thailand, iaitu Tak Bai, Hat Yai, Narathieat dan Songkla sebelum memasuki negara ini melalui Perlis.

"Ini merupakan misi kali ketiga saya dan turut disertai jurugambar sambilan agensi BERNAMA, Shahuri Awang bagi tujuan merakamkan detik pengalaman kayuhan yang akan dikisahkan pada sebuah buku nanti.

"Selain itu, kami juga akan menziarah rumah anak yatim dan pondok di Selatan Thailand dengan memberi sumbangan yang ditaja oleh Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) dan syarikat kosmetik, Sweetiey," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Hotel Grandriver View (GRV) di sini, hari ini.

Ditanya mengenai sokongan rakan dan keluarganya, Pak Wan menjawab mereka sentiasa memberi suntikan semangat selain menasihati untuk sentiasa berhati-hati sepanjang perjalanan.

Wan Hashim berkata perjalanan yang mengambil masa 41 hari itu pasti memberi lebih cabaran oleh itu dengan berbaki beberapa hari sebelum pelepasan Sabtu ini, beliau akan melakukan persiapan yang rapi.

"Mengenai persiapan kami akan menitikberatkan soal stamina dan kesihatan dan bagi mengekalkannya pasti permakanan harian perlu dijaga.

"Selain peralatan penting sepanjang perjalanan, kami juga dibekalkan dengan ubat-ubatan jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini berlaku,"katanya.

Sementara itu, Shahuri berkata kayuhan ini adalah pertama kali disertainya dan ia bakal memberi pengalaman bermakna.

"Sebelum ini, saya aktif mengayuh basikal mengelilingi bandar Kota Bharu pada waktu malam (selepas bekerja) dan penyertaan bersama Pak Wan adalah pertama kali.

"Saya terbuka hati menyertai Pak Wan kerana nampak seronok dan Insya-Allah, saya harapkan misi ini berjalan lancar dan akan dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.

0 comments:

Post a Comment