KOTA BHARU: Pemuda UMNO Ketereh dengan kerjasama RedOne Sdn Bhd menubuhkan Kelab Penyokong TRW Al Hamra RedOne Youth Club (TAHAR) sebagai satu bentuk sokongan kepada pasukan Kelantan.
Ketua Pemuda UMNO Ketereh, Muhammad Azam Ismail berkata, setakat ini TAHAR sudah disertai seramai 500 belia dan beliawanis bagi setiap DUN iaitu Melor, Kadok dan Kok Lanas.
Katanya, kelab itu juga turut menawarkan beberapa keistimewaan kepada ahlinya antaranya keutamaan pembelian tiket bola perlawanan.
"Setiap ahli akan diberi kad khas dan melalui kad itu, ahli akan mendapat pelbagai keistimewaan seperti keutamaan dalam pembelian tiket, potongan harga tiket dan insurans berkelompok jika berlaku sebarang insiden semasa menyaksikan perlawanan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Muhammad berkata, TAHAR turut berperanan merangka aktiviti sihat bagi mencegah penularan kegiatan tidak bermoral membabitkan belia pada hari ini.
"Kelab ini bersedia menganjur aktiviti kepada ahlinya dan langkah ini diambil selaras dengan mahu membendung belia terbabit dalam aktiviti tidak sihat.
"Selain itu, kita juga dalam perancangan mengerakkan aktiviti khidmat sosial dan ia secara tidak langsung memberi pendedahan kepada golongan belia dalam aktiviti kemasyarakatan.
Beliau berkata ia juga menjadi platform untuk berkomunikasi dengan anak muda bagi mendengar permasalahan yang dihadapi mereka.
"Kita harap ikatan silaturahim belia dan UMNO Ketereh erat malah Pemuda UMNO akan sentiasa mendekati golongan belia bagi mendengar masalah dan berbincang mengenai hala tuju selaib apa yang mereka mahu daripada kepimpinan sedia ada," katanya.
0 comments:
Post a Comment