KOTA BHARU: Pemuda Pakatan Harapan menyifatkan PAS akan kehilangan Kelantan jika tidak bersama dengan Pakatan Harapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan, Hazmi Hasan, berkata mengikut perkembangan situasi politik masa kini, PAS mempunyai peluang yang cerah untuk tewas.
"PRU 13 yang lalu, PAS sebenarnya sudah tewas kerana kebanyakkan rakyat Kelantan tidak lagi yakin dengan kepimpinan, namun mereka menang disebabkan pengundi luar.
"Daripada data terkini yang kita dapat, lebih 42,000 pengundi luar sudah menukar alamat mereka dan jika sesuatu tidak dilakukan untuk mengambil hati mereka, sudah tentu pemerintahan PAS di negeri ini akan tumbang," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Hazmi berkata perbincangan dengan hati terbuka perlu dilakukan untuk membentuk kembali pakatan pembangkang bagi memudahkan pertandingan satu lawan satu pada PRU akan datang.
"Jadi kami mengambil inisiatif untuk menjemput semua pemuda parti politik di negeri termasuk Dewan Pemuda PAS bagi sama-sama menghadiri Konvensyen Pemuda Pakatan Harapan yang diadakan pada Sabtu ini jam 8.30 pagi di Dewan Perniagaan Cina Kota Bharu," katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustafa, berkata PAS dijangka tidak akan memberikan laluan mudah kepada PKR di dalam PRU14 terutama di Kelantan.
"Kita masih lagi menganggap PAS di pihak pembangkang dan akan cuba bekerjasama dengan mereka namun jika gagal, PKR tetap akan mempertahankan serta meletakkan calon di negeri ini dalam PRU kali ini," katanya.
0 comments:
Post a Comment