Kota Bharu: Suspek yang memecah masuk pejabat Menteri Besar Kelantan awal pagi semalam miliki 13 rekod lampau berhubung jenayah dan dadah.
Suspek yang berumur 39 tahun itu kini diburu polis berdasarkan identitinya sudah dikenalpasti menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di pejabat terbabit.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, suspek dipercayai memasuki bangunan di pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri itu dengan mengumpil pintu sebelum masuk ke pejabat Menteri Besar dan menggeledah bilik Setiausaha Sulit Menteri Besar.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Suprintendan Setapa Yusoff, berkata pihaknya sedang memburu suspek dan yakin akan dapat menangkapnya dalam masa terdekat.
"Suspek berada dalam senarai orang dikehendaki dan memiliki 13 rekod lampau termasuk pecah rumah dan curi kenderaan.
"Hasil siasatan yang dijalankan pihak kami mendapati wang tunai berjumlah RM1,500 dan dua bentuk cincin yang dianggarkan bernilai RM1,000 hilang dicuri," katanya.
Setapa menolak dakwaan beberapa pihak yang mendakwa suspek memecah masuk ke bangunan kerajaan itu atas arahan pihak tertentu untuk mencuri dokumen penting.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun keseksaan.
0 comments:
Post a Comment