Masyukkk boh, RM13 juta 13 hari

KUALA LUMPUR: Filem Abang Long Fadil 2 (ALF2) mengutip RM13 juta selepas 13 hari ditayangkan di 120 pawagam di seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura.
Mula menemui penonton pada 23 Ogos lalu, ALF2 dijangka mampu melakar satu lagi sejarah dalam dunia sinematik tempatan berikutan prestasi baik ditunjukkan memasuki minggu ketiga tayangan.
Sehingga kelmarin, ALF2 menduduki tangga pertama dalam carta 'box office' mengatasi judul antarabangsa bagi filem yang ditayangkan dalam tempoh dua minggu.
Penerbit ALF2, Datuk Yusof Haslam memberitahu, sambutan luar biasa terhadap karya terbitan Skop Production Sdn Bhd dan Astro Shaw itu membuktikan industri perfileman masih disokong penonton tempatan.
"Filem bukanlah produk yang boleh dijangka. Sama seperti penerbit lain, awalnya saya bimbang apabila melihat tidak banyak filem mencecah kutipan pecah panggung sehingga bulan lalu," katanya kepada BH Online.
Sebelum ini, ALF2 yang diarahkan Syafiq Yusof, dilaporkan mengutip RM700,000 pada hari pertama tayangan. Filem itu dibintangi artis popular seperti Zizan Razak, Syamsul Yusof, Datuk AC Mizal, Wak Doyok dan Tania Hudson.
Yusof berkata, selain kekuatan cerita dan mutu produksi, ALF2 mencapai kejayaan berikutan musim cuti sekolah dan Aidiladha.
"Alhamdulillah, semua pawagam masih menayangkan filem ini. Selepas berbincang dengan Astro Shaw, mereka bersetuju mengekalkan filem ini di pawagam selagi mendapat sambutan.
"Saya berterima kasih kepada Astro Shaw yang banyak menyokong daripada segi pemasaran dan promosi. Kami berharap filem ini dapat memecahkan rekod kutipan tertinggi," katanya.
Sebelum ini, filem Polis Evo yang ditayangkan tahun lalu mencatat kadar jualan tiket terbanyak iaitu RM17,740,000.

Mek Bibi mahu tanding Presiden KAFA ?

Usahawan Batik, Bibi Ramjani Ilias Khan
KOTA BHARU: Usahawan wanita terkenal di Kelantan, Bibi Ramjani Ilias Khan menawarkan diri merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Pengurus Desa Murni Batik Kota Bharu itu bersedia menerajui KAFA tanpa mengenakan sebarang syarat termasuk tidak akan menjadikan pasukan The Red Warriors (TRW) sebagai platform perniagaan.
Pada awalnya, Bibi Ramjani hanya berhasrat untuk menjadi sebahagian daripada penaja untuk pasukan TRW musim hadapan.
Katanya, beliau banyak bergaul dengan orang ramai, termasuk penyokong bola sepak Kelantan dan mereka memintanya melakukan perubahan
"Saya menyambut hasrat itu mahu menaja pasukan terbabit. Namun apabila saya fikirkan semula, jika betul niat mahu membaik pulih pasukan, lebih baik lakukan perubahan terhadap pasukan dan persatuan.
"Daripada situ, saya rasa lebih baik saya tawarkan diri untuk bertanding sebagai Presiden," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Bibi Ramjani yang juga anak jati Kok Lanas berkata, perkara pertama yang akan dilakukan jika dipilih sebagai Presiden KAFA ialah memastikan kewangan persatuan stabil termasuk menyelesaikan hutang.
Katanya, KAFA di bawah kepemimpinan yang sedia ada kini sudah melakukan yang terbaik untuk mengurus pasukan dan masalah yang timbul sebelum ini disebabkan kekurangan dana.
"Saya lihat KAFA cuba sedaya upaya bagi memastikan pasukan bersaing pada musim ini, cuma mereka tidak bernasib baik dan kekurangan dana untuk menampung perbelanjaan pasukan.
"Jadi timbul soal tidak membayar gaji pemain dan sebagainya. Namun, saya akan cuba dengan pengalaman yang ada dalam bidang perniagaan untuk memastikan kewangan KAFA pada musim depan stabil dan menyelesaikan masalah hutang," katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor membuat tawaran terbuka kepada mana-mana individu untuk memimpin KAFA pada Kongres Agung Tahunan Kali ke-43 pada 16 September ini. - Berita Harian