Mek Bibi mahu tanding Presiden KAFA ?

Usahawan Batik, Bibi Ramjani Ilias Khan
KOTA BHARU: Usahawan wanita terkenal di Kelantan, Bibi Ramjani Ilias Khan menawarkan diri merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Pengurus Desa Murni Batik Kota Bharu itu bersedia menerajui KAFA tanpa mengenakan sebarang syarat termasuk tidak akan menjadikan pasukan The Red Warriors (TRW) sebagai platform perniagaan.
Pada awalnya, Bibi Ramjani hanya berhasrat untuk menjadi sebahagian daripada penaja untuk pasukan TRW musim hadapan.
Katanya, beliau banyak bergaul dengan orang ramai, termasuk penyokong bola sepak Kelantan dan mereka memintanya melakukan perubahan
"Saya menyambut hasrat itu mahu menaja pasukan terbabit. Namun apabila saya fikirkan semula, jika betul niat mahu membaik pulih pasukan, lebih baik lakukan perubahan terhadap pasukan dan persatuan.
"Daripada situ, saya rasa lebih baik saya tawarkan diri untuk bertanding sebagai Presiden," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Bibi Ramjani yang juga anak jati Kok Lanas berkata, perkara pertama yang akan dilakukan jika dipilih sebagai Presiden KAFA ialah memastikan kewangan persatuan stabil termasuk menyelesaikan hutang.
Katanya, KAFA di bawah kepemimpinan yang sedia ada kini sudah melakukan yang terbaik untuk mengurus pasukan dan masalah yang timbul sebelum ini disebabkan kekurangan dana.
"Saya lihat KAFA cuba sedaya upaya bagi memastikan pasukan bersaing pada musim ini, cuma mereka tidak bernasib baik dan kekurangan dana untuk menampung perbelanjaan pasukan.
"Jadi timbul soal tidak membayar gaji pemain dan sebagainya. Namun, saya akan cuba dengan pengalaman yang ada dalam bidang perniagaan untuk memastikan kewangan KAFA pada musim depan stabil dan menyelesaikan masalah hutang," katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor membuat tawaran terbuka kepada mana-mana individu untuk memimpin KAFA pada Kongres Agung Tahunan Kali ke-43 pada 16 September ini. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment