KAFA tak retak TRW tak dingin...Annuar mungkin kembali

KOTA BHARU: Selepas melepaskan tampuk kepimpinan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) 8 November tahun lalu, Tan Sri Annuar Musa mencadangkan kembali namanya sebagai Presiden persatuan itu.

Beliau berkata, cadangan itu hanya akan berlaku sekiranya tiada calon lain tampil menawarkan diri.

Katanya, sekiranya keadaan terlalu rumit, beliau sedia melakukan u-turn dan mengambil balik jawatan yang pernah disandangnya sembilan tahun lalu.

"Saya harap ia tidak berlaku...saya mahu melihat KAFA diberi peluang kepada individu lain yang mampu menaikkan kembali pasukan Kelantan.

"Jika tiada calon sangat, saya sedia duduk semula dan berbincang dengan Exco KAFA mengenai perkara itu," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Annuar yang pernah mengisi jawatan itu selama sembilan tahun berkata prestasi pasukan boleh terjejas jika perkara ini masih berlanjutan.

"Saya tidak mahu The Red Warriors (TRW) terus rosak dan hancur...saya juga sedia memberi bantuan kepada bakal presiden kerana bola sepak sudah menjadi satu tanggungjawab saya kepada rakyat.

Dalam masa sama, Annuar menegaskan kepada barisan exco yang tidak memberi sumbangan terhadap kemajuan persatuan dan pasukan untuk mengosongkan jawatan itu agar dapat diisi oleh calon yang lebih layak.

"Mana-mana exco dalam KAFA yang hanya menumpang dan ambil kesempatan dengan jawatan itu agar rela hati untuk melepaskannya.

"Ini kerana jika perkara itu terus berlaku ia akan merosakkan KAFA sekaligus menjejaskan pasukan TRW untuk musim akan datang...jangan kita tamak kerana kepentingan diri sendiri," katanya.

0 comments:

Post a Comment