PASIR MAS: Polis giat memburu seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki berusia 33 tahun dalam sebuah premis makanan segera di Gual Tinggi, Rantau Panjang, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Ibrahim Saad, berkata suspek yang diburu dikenali Saw Kim San berusia 31 tahun berasal dari Jalan Besar, Tumpat.
"Kita sedang mengesan suspek dalam kes terbabit dan percaya suspek masih berada di negeri ini.
"Kita meminta kerjasama orang ramai dan penduduk sekitar yang mengenali suspek supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di talian 09 7932222.
"Kita juga meminta suspek supaya tampil menyerah diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Kekseksaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mengulas lanjut perkara itu, Ibrahim berkata, siasatan awal terhadap kes terbabit adalah berpunca angkara cinta tiga segi.
Katanya, mangsa mati akibat menerima tikaman pada bahu kiri dengan menggunakan senjata tajam.
Sebelum ini akhbar melaporkan seorang lelaki maut ditikam di sebuah premis makanan segera di Gual Tinggi, pada jam 5.45 petang, 17 Ogos lalu.
Sebelum kejadian mangsa, Lee Boon Guan, 33 sedang menikmati makanan segera bersama seorang wanita berusia 30-an di tingkat satu premis berkenaan.
Ketika makan, seorang lelaki berusia 30-an yang membawa beg galas menghampiri mereka dan sempat berbual sebelum suspek mengeluarkan sebilah pisau dan menikam mangsa.
0 comments:
Post a Comment