Aset Isa mungkin di beku

Isa diiringi pegawai SPRM - pic by The Malaysian Insight
Kota Bharu: Ekoran penahanan bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holding Berhad (FGV), Tan Sri Isa Samad, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) masih belum membuat keputusan untuk membekukan aset miliknya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, keputusan berhubung perkara itu akan dibuat menerusi keterangan yang diperoleh.

Katanya, siasatan terhadap kes berkenaan masih dijalankan.

"Berkenaan aset itu, kita belum tentukan sama ada mahu beku atau sebaliknya kerana ia bergantung kepada keterangan yang diperoleh.

" Saya perlu dapatkan maklumat lanjut dari pegawai penyiasat dan keputusan akan dibuat selepas perbincangan dijalankan," katanya selepas Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah bersama Menteri Besar Kelantan dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim di Kota Bharu tadi.

Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Semalam SPRM menahan Mohd Isa bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian dua buah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Sumber berkata, Mohd Isa ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 2.40 petang untuk memberi keterangan lanjut berhubung pembelian dua hotel oleh FIC antara tahun 2014 dan 2015.

0 comments:

Post a Comment