Kredit gambar PFA Malaysia |
TRW yang dibadai pelbagai isu dan kontroversi kini menghuni tangga ke-5 carta Liga Super selepas mencatatkan enam kemenangan dua seri dan lima kekalahan namun bagi penyerang berusia 35 tahun itu percaya skuad kijang merah masih mempunyai peluang pada pusingan kedua liga musim ini.
"Sejak semalam kami semua kembali ke padang untuk berlatih selepas bercuti sempena Aidilfitri dan pada sesi latihan itu rakan-rakan yang lain juga dilihat bersemangat dan bersedia bermain pada perlawanan nanti.
"Sebagai pemain sudah tentu setiap perlawanan kami mahu keputusan yang membanggakan tetapi kami tidak menjanjikan keputusan di luar jangkaan, kami hanya berkeyakinan akan memberi fokus dalam perlawanan nanti untuk mencipta kemenangan.
"Sebelum ini, beberapa perlawanan persahabatan turut diatur pada bulan puasa dan pasukan memenangi perlawanan terbabit dari situ saya yakin TRW sudah mendapat sentuhan baru bagi berdepan cabaran liga pusingan kedua nanti," katanya di sini, hari ini.
Ditanya mengenai kehadiran pemain import baharu pasukan, Abou Bakr El Mal, Indra berkata, pemain itu sudah mempunyai keserasian dengan rakan sepasukan selain dia mempunyai keistimewaan dalam memperdayakan pertahanan lawan.
"Abou seorang pemain berkaliber dan mudah bekerjasama dengan rakan-rakan. Saya percaya kehadirannya dapat meningkatkan prestasi pasukan.
Pada masa sama, pemain kelahiran Ipoh, Perak itu turut mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak memandang rendah akan kemampuan skuad bujang senang yang kini menghuni tangga ke-10 dalam liga.
"Sarawak sebuah pasukan yang mampu mencipta kejutan meskipun beraksi di tempat lawan dan sebagai pemain perlu menganggap semua pasukan adalah pasukan terhebat agar terus fokus dalam sesebuah perlawanan.
"Kali terakhir mereka beraksi berdepan Perak dengan mencatat keputusan seri dan sudah pasti mereka berkunjung ke Kota Bharu dengan misi memburu tiga mata penuh," katanya.