KOTA BHARU: Pengurus pasukan Kelantan, Alfredo Gonzalez enggan menyalahkan anak buahnya ekoran kekalan 0-2 kepada Sarawak sebaliknya menyalahkan kekurangan fasiliti yang dialami.
Alfredo berkata, ketiadaan tempat latihan yang sempurna menyebabkan pemain tidak dapt menjalani sesi latihan yang mencukupi.
"Kesilapan pasukan bukan satu dan banyak aspek yang perlu diperbaiki semula termasuk membabitkan fasiliti latihan yang menjadi asas utama kepada pasukan.
"Pemain bukan tidak berlatih, pemain datang berlatih tetapi mereka tidak mendapat asas latihan sempurna sehingga pasukan terpaksa berlatih di padang yang jauh pada bulan Ramadan.
"Dan selama masa itu pasukan tidak berlatih di Stadium Sultan Muhammad Ke IV kerana tidak dibenarkan disebabkan program Kerajaan Negeri... jadi siapa yang harus membayarnya? Kenapa menyalahkan kami juga ?," katanya dalam sidang media selepas perlawanan, malam tadi.
Dalam masa sama, Alfredo turut mempertahankan formasi yang diterapkan dalam perlawanan itu dan menyifatkan ia dilakukan sesuai dengan keadaan pasukan ketika ini.
"Jangan salahkan formasi, saya tahu keadaan pasukan dan perlu berbuat demikian bagi mengelakkan keadaan lebih teruk lagi berlaku.
"Selasa ini, TRW akan bertemu UITM FC bagi kempen Piala Malaysia dan kita akan segera atasi kelemahan itu," katanya.
Sementara itu, jurulatih Sarawak, David Usop berkata, kemenangan itu menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk menyelamatkan pasukan daripada zon penyingkiran Liga Super musim ini.
"Kemenangan ini dapat melegakan pasukan dan penyokong dari menyelamatkan diri dari zon merah.
"Walaupun menang dalam perlawanan di tempat lawan tetapi Sarawak masih belum mencipta kemenangan di laman sendiri, itu yang kita bimbang dan saya harap kemenangan kali ini dapat dijadikan motivasi bagi membaiki rekod pasukan," katanya.
0 comments:
Post a Comment