Cabaran calon UMNO PRU nanti
Pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) nanti boleh dinobatkan yang paling sengit dalam sejarah negara dan teramat mencabar terutamanya kepada calon Barisan Nasional (BN).
Pahlawan-pahlawan BN dan UMNO sentiasa meniupkan api perkauman, dengan menyatakan DAP akan memerintah negara sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang.
Namun, tidakkah mereka sedar bahawa rakyat sekarang lebih celik dan tidak mudah termakan dengan momokan yang diberikan oleh UMNO atau BN?
Apa yang menjadi kebimbangan atau orang putih cakap 'concern' bagi rakyat adalah isu-isu yang dibangkitkan oleh PH yang masih belum dijawab sepenuhnya oleh pemimpin UMNO?
Hendak disebut isunya, nampak sangat 'cliche' namun sudahkah mereka menjelaskan berkait dengan 1MDB, cukai perkhidmatan dan barangan (GST), derma bernilai RM2.6 bilion?
Ya, mungkin ada penjelasan yang diberikan, namun bagaimana dengan rakyat di luar bandar? Mereka tidak berhak untuk mengetahui perkara itu? Atau sekadar menyerahkan kepada Ketua UMNO Bahagian (KUB) masing-masing untuk menjelaskan?
Untuk pengetahuan, tidak semua KUB yang memahami isu terbabit, malah ada antaranya tergagap-gagap ketika ditanya oleh rakyat, dan menuntup kepincangan itu dengan mengatakan "masih dalam siasatan".
Mungkin betul masih dalam siasatan, mungkinlah...tapi dengan penjelasan yang bercelaru mampu menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat, sudahnya apa akan jadi?
Terus terang mengatakan, ketika ini, kebanyakkan penduduk luar bandar mengambil sikap untuk tunggu dan lihat, dan ada antara mereka bersikap untuk menjadi penyokong atas pagar.
Bukan hanya rakyat, malah ahli UMNO mahupun penghulu sendiri memilih untuk berdiam diri selepas tidak mampu untuk menjawab soalan yang diajukan di parlimen rakyat (kedai kopi).
Bukan penjelasan yang sepenuhnya dimahukan, tetapi cukuplah ianya dapat difahami, mempunyai asas yang kukuh bersertakan fakta.
Ini tidak, setiap kenyataan yang dikeluarkan sentiasa berubah dan bercanggah dengan apa yang berlaku.
Mahu contoh paling mudah? Isu RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimana diawalnya, Datuk Ahmad Maslan menafikan Najib menerima RM2.6 bilion dalam akaun peribadi, dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO sudah diberikan taklimat mengenai perkara itu.
Tetapi selepas diasak oleh pembangkang, kenyataan terbabit sedikit berubah dengan menyatakan ia adalah difitnah pembangkang yang mahu menjatuh BN (sudah tugas mereka begitu).
Ia disusuli pula dengan kenyataan Najib yang mahu memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap Wall Street Journal (WSJ) di Amerika Syarikat (AS). Sebaik mendengar kenyataan ini, rata-rata penyokong UMNO gembira kerana ia satu tindakan berani, tetapi bila mahu saman daaa...
Selepas beberapa kali hari Selasa, tiba-tiba keluar kenyataan bahawa wang terbabit wujud dalam akaun peribadi Najib, tetapi ianya adalah derma daripada Arab Saudi.
Itu hanya satu contoh, masih belum masuk isu lain, dan contoh terbabit merupakan isu yang paling popular dibahaskan di sidang parlimen rakyat di kampung-kampung.
Jadi bagaimana calon BN akan menangani isu terbabit pada PRU nanti jika kenyataan Pengerusi BN, Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Menteri Kewangan sendiri caca marba.
Untuk itu, persiapkan diri sebaik mungkin dan belajarlah cara untuk berhujah dengan fakta, dan pastikan hati kena kental kerana ianya terlalu sukar untuk menaruh kembali keyakinan rakyat.
Semoga berjaya.
0 comments:
Post a Comment