Dua anggota Geng Wani maut

KOTA BHARU: Dua lelaki warga asing maut dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Salor Baru, semalam merupakan ahli kumpulan Geng Wani yang aktif sejak awal tahun, di sini.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad, berkata semakan yang dilakukan mendapati suspek terbabit dalam lapan kes samun bersenjata.

Katanya, modus operandi yang dijalankan sindiket itu adalah menyasarkan individu yang melakukan transaksi di bank sebelum memeras ugut mangsa di kawasan sunyi.

"Kita percaya kedua suspek yang ditembak mempunyai kaitan dengan kes samun di bandar ini termasuk kes membabitkan individu mengeluarkan wang dalam jumlah yang banyak di bank sebelum mereka bertindak melarikan wang itu.

"Suspek yang maut berumur diantara 35 hingga 45 tahun dan mereka berasal dari Indonesia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian malam tadi dua lelaki warga asing maut ditembak dalam kejadian kejar mengejar dan berbalas tembakan dengan pihak polis.

Dua diantara empat penjenayah yang terbabit dalam kejadian itu terbabit dengan kes samun dan memiliki rekod lampau selain dikehendaki pihak polis.

Din berkata, susulan kejadian itu pihak polis menyarankan individu yang mahu mengeluarkan wang berjumlah yang banyak memaklumkan kepada pihaknya untuk mendapatkan perlindungan.

"Sempena Aidilfitri yang akan tiba, orang ramai kerap melakukan transaksi di bank dengan mengeluarkan sejumlah wang yang banyak.

"Orang ramai dinasihatkan lebih peka dengan persekitaran sekeliling dan jika perlu mereka boleh memaklumkan kepada pihak polis untuk mendapatkan perlindungan semasa transaksi dibuat," katanya.

FMLLP kaki putar belit?

Kota Bharu: Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa sekali lagi menempelak gerak kerja Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) yang dilihat semakin bercelaru.

Beliau juga mahu FMLLP menjelaskan sebab sebenar yang sekatan perpindahan yang dikenakan terhadap pemain import, Seydi Al Imam ke pasukan The Red Warriors (TRW).

Beliau menerusi entri terbaru laman Facebooknya, hari ini menyifatkan FMLLP memberikan kenyataan putar belit di media cetak mengenai sekatan perpindahan itu.

"Semakin jelas auta FMLLP, baru-baru ini mereka keluarkan kenyataan bahawa sekatan kepada KAFA kerana isu tunggakan gaji dan pendaftaran baru hanya boleh dibenar kalau ia tidak membabitkan kos tambahan.

"Semalam, mereka beri alasan hasil perpindahan tak dibelanja untuk selesai 'masalah' tanpa mereka siasat terlebih dahulu.

"Hari ini lain pula ceritanya, kerana tidak melengkapkan dokumen pendaftaran pula," katanya.

Dalam masa sama, Annuar terus mempersoalkan gerak kerja FMLLP yang dilihat berat sebelah dengan merujuk pendaftaran pemain import Lubnan, Abou Bakr Al Mel yang dibolehkan untuk berdaftar baru-baru ini.

"Kalau itu alasan kenapa Abou Bakr boleh di daftar? adakah kerana perintah pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan (ia disebabkan) JDT (mahu) miliki Ghaddar maka budi bicara boleh pula digunakan? budi bicara siapa? diputuskan dalam mesyuarat mana? mana minitnya? atau kuasa individu?," soalnya.

Mengulas perkembangan sama, Annuar berkata jika sekatan perpindahan mahu dijalankan organisasi bola sepak swasta itu, ia perlu dengan undang-undang yang betul supaya tidak mengelirukan.

"Sekiranya sekatan yang belum KAFA lepasi sila batalkan perpindahan Ghaddar dan Bakr, kerana undang-undang mesti jelas dan konsisten.

"Dalam mesej (kenyataan) JDT jelas menyebut perpindahan (Ghaddar) bersifat 'win-win' supaya KAFA boleh membeli pemain baru, sekarang yang mana satu, sekarang ada 'claim' yang FMLLP mengguna budi bicara.

"Kalau begitu apa yang menghalang FMLLP menggunakan budi bicara bila Seydi menggantikan Celin yang cedera dan tidak cergas," katanya.

Semak dulu lah FMLLP!

KOTA BHARU: TindakanPerkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mengagalkan pendaftaran pemain import baharu, Seydi Al Iman seolah mahu meranapkan pasukan The Red Warriors (TRW) dalam kancah bola sepak negara," ujar Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa.

Annuar menerusi entri terbarunya mempersoalkan profesionalisma organisasi bola sepak swasta itu kerana tidak mahu merujuk kepada pihak KAFA dahulu mengenai perkara itu.

Katanya, FMLLP perlu bertanya dulu KAFA kedudukan sebenar sebelum buat kenyataan supaya kelihatan lebih profesional dan tidak buat kenyataan yang salah.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, yuran perpindahan Mohammad Ghaddar ke pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang diterima pihaknya setakat ini diguna untuk menjelaskan tunggakan gaji pemain TRW termasuk menandatangani pemain import Lubnan, Abou Bakr El Mal.

"Tahukah FMLLP kesemua duit dari JDT setakat ini semuanya diguna untuk (membayar) tunggakan gaji pemain dan 'Signing' pengganti Ghaddar dan tidak untuk (membeli) Seydi Imam.

Menyedari bahawa persatuan itu kekurangan kewangan, KAFA mengambil langkah penjimatan dengan meminjamkan pemain pertahanan pasukannya, Nik Shahrul Azim ke pasukan Liga Perdana, Negeri Sembilan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M), musim ini.

"Tahukah FMLLP, KAFA membuat penjimatan dengan meminjamkan pemain seperti Pak Nik (Nik Shahrul Azim) untuk memastikan KAFA tidak berbelanja secara berlebihan.

Dalam masa sama, Annuar mengulas lanjut mengenai desakan beberapa bekas pemain import yang menuntut baki gaji mereka.

Katanya, pemain terbabit mempunyai isu tertentu dengan KAFA dan ia hanya diselesaikan dengan proses tertentu.

"Tahukah FMLLP beberapa bekas pemain import yang tengah bising ada kes pertikaian tertentu dengan KAFA dan sedang melalui satu proses tertentu pilihan mereka sendiri.

Dalam masa sama, Annuar berkata sebarang pembelian pemain baharu yang tidak membabitkan kos tambahan adalah hak mutlak sesebuah pasukan.

"Kalau Abou Bakr dibenarkan daftar, apa asas nak halang Seydi sedangkan peraturan jelas menyebut 'Signing' yang tidak membabitkan kos tambahan dan penjimatan adalah hak pasukan.

"Atau FMLLP mahu kelab terus buang duit dengan kekalkan pemain yang sakit, tidak beraksi..supaya TRW yang sudah dipotong masa terus ranap dan tidak mampu bersaing..itukah arahan kerja FMLLP terhadap ahli gabungan KAFA ?

"Mengapa pula FMLLP membenarkan pemain KAFA berpindah kalau KAFA tak dibenarkan ganti mereka? Tolong jawab dengan profesional," katanya.

Semalam, BHSukan melaporkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dihalang untuk mengikat pemain import baharu, Seydi L Imam berikutan kekangan hutang masih membelenggu pasukan itu.

Tindakan itu adalah sebagai langkah susulan pihak Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) yang mendedahkan hanya menerima surat permohonan KAFA untuk seorang pemain luar negara yang ingin didaftar pada jendela perpindahan kedua yang berlangsung ketika ini.

Dugaan menjelang Ramadan

Pasir Mas: Sebuah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Cherang Hangus, Lubok Jong, Pasir Mas, hari ini.

Kebakaran jam 1 tengah hari itu berlaku ketika penghuni pasangan suami isteri berusia 50-an tiada di rumah.

Komander Operasi Penolong Penguasa Bomba Mohamad Nazri A Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.07 minit tengah hari dan seramai 12 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik sampai pihaknya mendapati kebakaran sudah 80 peratus dan api cepat merebak kerana struktur binaan rumah daripada kayu dan cuaca panas.

"Kita menjalankan usaha memadam api yang mengambil masa sembilan minit.

"Tiada kehilangan nyawa kerana penghuni si suami dirawat di hospital akibat angin ahmar dan isteri keluar menoreh getah di kebun. Punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Buang sampah dapat duit

Kota Bharu: Berita baik untuk rakyat Kelantan apabila Kerajaan Negeri akan menyediakan 'tong buang dan tebus' yang akan memberi pulangan wang tunai kepada pengguna.

Tong itu akan diletakkan di sekitar pasar raya di bandar Kota Bharu sebelum Aidilfitri ini.

Pengguna hanya buang sampah yang boleh dikitar semula termasuk botol air, barangan plastik dan tin.

Mereka perlu kumpul 50 unit sebelum membuang ke dalam tong untuk mendapatkan resit dan boleh ditebus dengan wang tunai.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abd Fattah Mahmood berkata, inovasi itu adalah yg pertama di negara ini dan amat bangga kerana ia direka oleh anak Kelantan.

"Kita mahu mendidik masyarakat membuang sampah secara tersusun dan kitar semula dan mendapat faedah apabila boleh ditebua," katanya di sini, hari ini.

Kusangkakan musang, rupanya rimau..

Tanah Merah: Seekor harimau bintang betina yang membaham anjing penduduk, malam tadi, ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah ini di Ladang Kerilla, Tanah Merah.

Tiga jam masa diambil untuk menjinakkan haiwan liar seberat 50 kilogram itu yang disangkakan musang pada awalnya.

Pegawai Pertahanan Awam daerah, Staf Muda (PA), Mohd Fadli Hassan berkata, etika pasukan APM sampai, harimau betina itu bersembunyi di dalam saluran pembetung sepanjang kira-kira enam meter di sebuah kebun getah dalam ladang berkenaan.

"Anggota kami terpaksa memecahkan satu daripada empat saluran pembetung itu sebelum berjaya memerangkap dan menangkap harimau berkenaan.

"Bagaimanapun seekor anak harimau ini berjaya melepaskan diri daripada perangkap yang dipasang kerana pasukan operasi tidak sedar harimau ini ada anak," katanya.

Harimau itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

23 nelayan asing ditahan APMM

Pasir Puteh: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 23 nelayan warga asing dan merampas dua bot mengandungi hasil laut nilai RM2.5 juta di 70 batu nautika Pantai Sabak, Kota Bharu, semalam.

  Nelayan Vietnam itu berusia antara 16 hingga 64 tahun ditahan pada jam 7 pagi.

  Pegawai Memerintah KM Pekan Kapten Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, nelayan berkenaan menaiki dua bot yang menggunakan nombor pendaftaran bot tempatan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

 "Kita memantau selama satu jam sebelum menahan mereka bersama dua bot dan merampas dua tan ikan campur, satu tan baja ikan dan 300 kilogram (kg) sotong bernilai RM2.5 juta.

  "Mereka dibawa ke jeti Maritim Malaysia Tok Bali dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan ikut Seksyen 15 Akta Perikanan yang boleh denda hingga RM1 juta untuk tekong dan RM100,000 untuk awak-awak.

  "Manakala, bot yang ditahan akan disita dan dilelong mengikut Seksyen 16 Akta Perikanan," katanya hari ini.

Akhirnya turun juga kau


Kota Bharu: Takut ditahan polis, seorang lelaki berusia 30-an sanggup menyorok di atas bumbung rumah penduduk hampir tujuh jam kejadian di Kampung Kedai Buloh, Jalan PCB.

Namun, lelaki yang dipercayai penagih dadah itu menyerah diri kepada polis pada jam 5.20 petang tadi selepas dipujuk ahli keluarga dan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mohd Fakri Che Sulaiman berkata, serbuan di sebuah rumah, lelaki berkenaan bersama tiga rakannya sebelum dia melarikan diri memanjat bumbung rumah.

"Lelaki itu menyerah diri kepada polis dan akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Pilu di Hari Guru

PASIR MAS: Seorang guru wanita meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung ketika sambutan hari guru di Sekolah Kebangsaan Othman Talib (1) ,Tendong, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengahari tadi, mangsa, Naizura Mohamed, 42 dikatakan menyertai satu persembahan pentas bersama murid sekolah dan tiba-tiba rebah sebelum dibawa menaiki ambulans ke Klinik Kesihatan Tendong.

Guru Besar sekolah berkenaan, Zulhadi Mahamad berkata persembahan pentas yang disertainya adalah persembahan penutup majlis sambutan hari guru.

Katanya, sebelum acara bermula mangsa sudah kelihatan lesu dan rakan guru sudah memberi nasihat kepadanya untuk pulang berehat di rumah.

"Pagi tadi, muka arwah pucat dan letih semasa berkumpul bersama guru-guru lain di dewan sekolah sebelum acara sambutan bermula.

"Bimbang dengan keadaan itu, beberapa rakan guru menasihatnya untuk berehat di bilik guru dan dia dibenarkan untuk pulang ke rumah jika keadaannya tidak mengizinkan.

"Namun sebaik sahaja jamuan tengahari tadi, beliau meneruskan persembahan penutup bersama murid kelasnya dan tiba-tiba rebah ke lantai," katanya.

Zulhadi berkata keadaan itu mengejutkan warga guru dan tindakan pantas guru dengan memberikan bantuan penafasan (CPR) gagal menyelamatkannya.

"Sebaik dia rebah, ada di kalangan guru cuba memberikannya bantuan penafasan (CPR) tetapi gagal.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (II) untuk dibedah siasat," katanya.

PAS sedia bincang dengan PKR

PASIR MAS: Perbincangan mengenai tahaluf siyasi antara PAS dan PKR boleh diadakan walaupun cadangan untuk memutuakan hubungan kedua parti itu sudah dipersetujui, kata Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesanggupan Naib Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi PAS.

Katanya, tindakan itu merupakan satu usaha yang dilakukan Azmin untuk kebaikan parti pembangkang.

"Saya harap pertemuan dan perbincangan antara PAS dan PKR dapat menyelesaikan kekusutan yang melanda kedua parti ini.

"Bagi saya, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk berjumpa dengan Azmin jika mereka masih sayangkan kerjasama yang terjalin sebelum ini," katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Wakaf Raudhatul Barakah, Pondok Beta Hilir, di sini, hari ini.

Azmin yang juga Menteri Besar Selangor dilaporkan mahu duduk berbincang dengan Abdul Hadi bagi meneruskan kerjasama politik antara mereka.

Malah tindakan Azmin dilihat tepat selepas satu persatu PAS dikawasab seluruh negara melulukan usul memutuskan kerjasama politik.

Cadangan berkenaan juga dipersetujui dan diterima sebulat suara oleh muktamar parti itu di Kota Sarang Semut, Alor Setar Kedah yang berlangsung minggu lalu.

Dalam masa sama, ketika diminta mengulas mengenai pengekalan kedudukan exco dari PAS dalam kerajaan di Selangor, Ahmad berkata ia satu keputusan yang perlu dilakukan kerana setiap exco yang dipilih dilantik oleh rakyat.

"Tiada sebab untuk mereka diturunkan kerana jika masih mendapat perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, kedudukan itu perlu dikekalkan," katanya

Mimpi petunjuk penemuan jenazah anak

Anggota polis mengangkat mayat Tuan Ahmad Syarizad
Kota Bharu: Gambaran kedai makan yang dijelmakan melalui mimpi seorang bapa merupakan petunjuk kepada penemuan anaknya yang sudah tiga hari menghilangkan diri.

Mayat Tuan Ahmad Syarizad Tuan Abdullah, 22, ditemui terapung di rumah rakit di Tambatan Diraja oleh orang awam kira-kira jam 8.55 malam tadi sebelum sepasukan anggota polis termasuk pasukan forensik dihubungi.

Bapa mangsa, Tuan Abdullah Tuan Mat, 52, berkata anaknya keluar dari rumahnya di Jalan Dusun Muda untuk solat Subuh di masjid berhampiran kira-kira jam 6 pagi Ahad lalu dengan memakai kain pelikat.

Belau berkata anaknya itu mengalami masalah gangguan misteri dan sudah kerap hilang sejak beberapa tahun lalu kerana mendakwa mengikut seorang lelaki berjubah hitam.

"Sebelum keluar rumah pagi Ahad lalu, dia menangis dan meminta maaf dari ibunya dan turun ke masjid dan selepas itu langsung tidak balik ke rumah.

"Saya cuba mencarinya di masjid dan menemui kain pelikatnya yang diletakkan di lantai masjid dan saya mengesyaki anak saya hilang sekali lagi sebelum cuba mencarinya di beberapa tempat namun tidak menjumpainya," katanya.

Tuan Abdullah berkata beliau segera ke lokasi penemuan sebaik dimaklumkan seorang lagi anaknya yang mengetahui mengenai penemuan mayat melalui laman Facebook.

Perpisah Nyla dan Ujang sudah diberitahu lebih awal

Selepas mengambil tindakan memberhentikan serta-merta Ujang dianggap zalim oleh segelintir orang, penerbit majalah komik Upin & Ipin hari ini tampil memberi penjelasan lapor Malaysiakini
Menurut pegawai atasan Nyla Sdn Bhd - penerbit majalah animasi berkenaan - langkah pemberhentian Ujang dilakukan sebagai inisiatif mengehadkan perbelanjaan kos operasi syarikat.
Kata Tunku Maziah Tunku Mukhtar, Nyla bersetuju bekerjasama dengan Ujang pada penghujung 2009 dan mengambil kartunis itu sebagai penasihat dan editor majalah komik.
Katanya, perjanjian lisan tersebut adalah di antara Nyla dan Ujang saja, manakala Les Copaque Production Sdn Bhd - sebagai syarikat pemegang lesen Upin & Ipin - tidak terlibat langsung dalam perjanjian berkenaan.
"Ujang tidak disenaraikan sebagai pekerja bergaji Nyla, sebaliknya dibayar retainer fee setiap bulan untuk peranannya semenjak 2009," katanya hari ini.
Bagaimanapun, kata Tunku Maziah, pada Februari lalu Nyla membuat keputusan untuk mengubah corak persembahan majalah komik Upin & Ipin itu sebagai langkah meningkatkan lagi jumlah jualannya.
Tindakan itu, katanya, dibuat berdasarkan input daripada Les Copaque tetapi tidak dipersetujui oleh Ujang.
"Tetapi Nyla berpendapat perubahan itu adalah langkah yang terbaik demi kepentingan majalah komik ini.
"Oleh kerana Les Copaque mengambil peranan yang lebih aktif sebagai penasihat dan editor, peranan Ujang didapati berlebihan," katanya.
Tunku Maziah berkata demikian bagi mengulas isu pemberhentian serta-merta Ujang daripada syarikat Nyla seperti yang didedahkan kartunis berkenaan pada 5 Mei lalu.
Melalui Faceook, Ujang menyatakan rasa terkejut dan sedihnya apabila ditamatkan perkhidmatan sebagai perunding majalah komik Upin & Ipin.
Menurut anak kelahiran Negeri Sembilan itu, dia yang diberhentikan serta-merta mengakibatkan kehilangan punca rezeki untuk menanggung anak dan isteri yang sedang uzur.
tu mengundang kemarahan peminat yang mengikuti perkembangan kartunis yang mula popular menerusi majalah Gila-Gila itu.
Kata Tunku Maziah penamatan khidmat Ujang juga dibuat ekoran penurunan berterusan majalah komik berkenaan berterusan berbanding sebelumnya.
"Notis pemberitahuan mengenai hal berkenaan sudah dimaklumkan terlebih awal kepada Ujang. Justeru tidak timbul arahan pemecatan 24 jam seperti yang didakwa.
“Kami telah berterus terang memberitahu Ujang bahawa kami perlu mengurangkan kos operasi syarikat memandangkan kemerosotan jualan yang berterusan," katanya.
Tunku Maziah berkata, pada Februari lalu Ujang diberitahu bahawa khidmatanya tidak akan diperlukan tidak lama lagi.
“Ujang mengakui hakikat bahawa pemberhentiannya itu tidak dapat dielakkan. Kami selanjutnya telah mengesahkan kepadanya penamatan perkhidmatannya dalam pertengahan April,” katanya.
Tunku Maziah menjelaskan sepatutnya tidak timbul isu apabila perpisahan antara Nyla dan Ujang memang sudah dijangka.
Bagaimanapun, katanya, anggapan itu meleset sama sekali apabila Ujang bertindak menyebarkan perkara berkenaan di media sosial sekaligus menjejaskan reputasi syarikatnya.
“Pada sangkaan kami, ini adalah satu perpisahan secara mesra, memandangkan kami menepati perjanjian dengannya selama tujuh tahun yang lepas.
“Walaupun sumbangannya agak minimum, kami kecewa apabila Ujang memilih untuk mendatangkan aib kepada kami melalui Facebook, setelah mengambil cek untuk April pada 5 Mei 2017 dari pejabat kami,” katanya

Maut ke tempat kerja

Anggota Bomba cuba mengeluarkan mangsa kemalangan
Tumpat: Seorang lelaki yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit di Kampung Ana, di Tumpat.
Dalam kejadian 7.45 pagi tadi, mangsa Rozali Othman, 46, meninggal dunia serta-merta akibat kecederaan serius.
Rozali bekerja sebagai pemandu di Jabatan Kerja Raya (JKR) Pasir Mas dikatakan memandu sendirian dari arah Chabang Empat ke tempat kerjanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba Raja Arisan Raja Semail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan susulan kemalangan itu pada 7.52 pagi.
"Kita terpaksa memotong beberapa bahagian kereta bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.
"Mangsa berjaya dikeluarkan setengah jam kemudian, bagaimanapun sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi.
Mayat dihantar ke Hospital Tumpat untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga.

Tidak ada kajian Pakatan Harapan boleh menang- Ahmad Yakob

KOTA BHARU - PAS yakin Pakatan Harapan tidak akan mampu menumbangkan kerajaan negeri Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang.
Timbalan Mursyidul Am, Datuk Ahmad Yakob berkata, sehingga hari ini, belum ada kajian dan fakta kukuh yang mengatakan Pakatan Harapan itu kuat.
Katanya, pihaknya juga tidak bimbang dengan ancaman pakatan berkenaan sebaliknya optimis PAS mampu menghadapi tentangan dalam PRU nanti.
"Setakat ini tidak ada ramalan, jadi kita tidak bimbang malah jika berlaku pertembungan tiga penjuru sekali pun, kita akan terima kerana ia adalah adat demokrasi yang diamalka.
"PAS adalah blok ketiga pembangkang di negara ini dan walaupun begitu, kami yakin dapat menggugat kedudukan BN dalam PRU kali ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Seminar Ahli Majlis dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Kelantan di sebuah hotel di sini hari ini.
Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa bahawa PAS dan UMNO boleh bersatu dan tidak perlu bermusuh, Ahmad berkata, kedua-dua parti itu sememangnya tiada persefahaman sejak dahulu lagi.
"UMNO adalah musuh tradisi PAS di negeri ini, dan kita akan tetap melawan mereka sama seperti melawan DAP.
"Kita hanya bekerjasama jika ia membabitkan kepentingan rakyat seperti yang dilakukan antara kerajaan pusat dan negeri, namun dalam politik, kita tidak dapat bekerjasama," katanya.



Aloh, stok mercun mmutus boh!

Nasir Yusof (dua kiri) menunjukkan mercun yang dirampas
Rantau Panjang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas mercun dan bunga api serta rokok seludup bernilai hampir RM290,000 dalam operasi Khamis lalu.

Pengarahnya, Mohd Nasir Yusoff berkata, dalam serbuan berasingan di Wakaf Bata, Machang pada jam 3.50 pagi dan Kampung Pachakan, Besut, Terengganu jam 6 pagi menahan tiga lelaki iaitu warga tempatan usia 31 tahun, Myanmar, 20an dan Thailand usia 28 tahun.

Katanya, serbuan di Wakaf Bata, pihaknya merampas mercun dan bunga api seludup bernilai RM129,680 termasuk cukai.

"Mercun dan bunga api seludup seberat 4,078 kilogram (kg) diletakkan dalam 174 kotak dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur menggunakan lori lima tan.

"Manakala, operasi di Kampung Pachakan, kita merampas 1,150 karton rokok seludup jenama Saat seberat 195.50 kg bernilai RM158,470.

"Tiga lelaki itu direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.

'Rapid Nyassi' bakal beraksi

KOTA BHARU: Tan Sri Annuar Musa mengesahkan pemain import baru pasukan The Red Warriors (TRW), Sanna Nyassi bakal diturunkan pada perlawanan amal menentang Kelab bola sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) pada 13 Mei ini.

"Sanna Nyassi atau gelaran jolokan "Rapid Nyassi" kerana kelajuannya akan beraksi pada 13/5/17 menentang Selangor PKNS di Stadium Shah Alam.

"Perlawanan berstatus 'Charity Match' itu dijadualkan berlangsung pada jam 8.45 malam," katanya.

Nyassi, 28 dibawa masuk oleh penaja utama pasukan, Al Hamra Group bagi menggantikan Alessandro Celin yang mengalami kecederaan jangka panjang.

Penyerang kelahiran Gambia itu pernah menyarung jersi salah sebuah kelab dari Liga Bolasepak Amerika Syarikat (MLS), San Jose Earthquakes dengan 28 penampilan.

DAP mahu perguna PAS

KOTA BHARU: DAP dilihat sengaja mengeluarkan kenyataan tidak berasas dalam usaha pihaknya untuk terus memerangkap PAS.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, kenyataan yang dibuat itu adalah untuk menutup rasa kecewa mereka kerana sudah ditinggalkan oleh PAS.

Beliau berkata, sebaliknya, DAP perlu cermin diri mereka sendiri terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya.

"DAP sebenarnya mahu berbaik dengan PAS, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya dan saya ucap tahniah kepada PAS kerana berani mengambil risiko dengan putuskan tahaluf siyasi dengan bekas sekutunya itu.

"Ternyata apa yang diramalkan UMNO sebelum ini tepat dan PAS tidak kekal lama dengan DAP kerana parti sosialis itu berkiblatkan Parti Tindakan Rakyat Singapura (PAP)," katanya selepas merasmikan Larian Bendera sempena Hari UMNO Ke-71 di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar beranggapan DAP sebenar masih mahu menggunakan PAS sebagai alat politiknya tetapi gagal dan DAP hanya bersama dengan parti serpihan PAS, iaitu Parti Amanah Negara (PAN).

"DAP diibaratkan mahukan seluruh tubuh PAS tetapi kini hanya mendapat ibu jari kaki sahaja yang dibentuk melalui PAN dan saya ucapkan tahniah kepada PAS kerana memotong ibu kaki bagi menyelamatkan anggota badan yang lain.

Dalam pada itu, Annuar berkata UMNO kekal dengan pendirian asal untuk menolak parti DAP sejak tahun 1964 hingga selama-lamanya.

Ditanya mengenai kerjasama UMNO-PAS, Annuar berkata tiada sebarang halangan mengenai kerjasama itu kerana ia demi kebaikan agama dan bangsa.

"Kalau sebelum ini PAS boleh berkawan dengan DAP, kenapa perlu timbul soal menolak kerjasama UMNO-PAS. Malah ia dapat memberi kebaikan terutama membabitkan isu agama.

"Apa yang penting, jika wujud persamaan antara UMNO-PAS, kita sedia bila-bila masa sahaja untuk bekerjasama," katanya.

KAFA perlu lantik peguam

KOTA BHARU: Penaja utama pasukan, Al-Hamra Group yang dipengerusikan, Tan Sri Annuar Musa mencadangkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) melantik peguam bagi menyelesaikan isu pendaftaran pemain import, Sanna Nyassi.

Katanya, sekiranya KAFA tidak melanggar undang-undang yang ditetapkan, tiada alasan persatuan bolasepak negeri itu memperjuangkan hak membawa masuk pemain untuk memperkuatkan pasukan.

"Saya hairan kenapa ada pihak mahu menghalang KAFA untuk mengambil pemain baru sedangkan pemain itu bukan dibawa oleh KAFA, tetapi ia dibawa oleh penaja.

"Saya membawa masuk Nyassi bagi menggantikan Alessandro Celin, ini bermakna Celin akan dilepaskan dan The Red Warriors (TRW) masih mematuhi syarat tiga pemain import yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini," katanya.

Mengulas lanjut, Annuar berkata bolasepak mempunyai peraturan yang membolehkan sesebuah pasukan menghentikan serta merta pemain yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang.

"Dalam bolasepak ada peraturan dipanggil 'sporting just cause' yang berfungsi untuk menamatkan kontrak pemain yang tidak beraksi agar pasukan berkenaan tidak menanggung kerugian.

"Jadi dalam kes Celin-Nyassi, peraturan itu yang cuba kita lakukan, pemain import yang tidak diturunkan disebabkan kecederaan atau beraksi tidak baik, kita tidak membayar gaji mereka sehingga hujung musim...perkara ini sepatutnya pihak berkenaan berbincang dahulu dengan kita sebelum bertindak," katanya.

Ditanya mengenai soal KAFA akan membuat rayuan mengenai pemotongan mata, Annuar berkata KAFA perlu berjuang mengenai hal itu dan jika perlu kepada rayuan, KAFA perlu lakukan.

"Isu pemotongan mata tidak menyelesaikan masalah yang ada sebaliknya memberi lebih tekanan kepada pemain dan pengurusan sesebuah pasukan.

"Jika mereka sentuh soal hutang, kenapa bekas pemain pertahanan Selangor, S. Subramaniam yang kini beraksi dengan Kelantan mengadu beliau masih belum menerima bayaran enam bulan gaji daripada bekas majikannya itu.

"Kenapa hal itu seolah-olah ditutup, bukankah ia situasi yang sama," katanya.

Akhbar melaporkan empat pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dikenakan hukuman potong enam mata kerana tidak melunaskan tunggakan gaji pemain sehingga gagal melengkapkan pengesahan penyertaan pertandingan liga berkenaan yang berakhir pada Disember 2016.

Suri rumah meninggal hantar anak sekolah

Kota Bharu: Seorang suri rumah meninggal dunia ketika dalam perjalanan menghantar tiga anaknya ke sekolah kejadian jam 7.20 pagi tadi di Kampung Cherang, di sini.

Mangsa, Mazlina Mohamad, 45, mengalami sesak nafas ketika mahu menghantar anaknya ke sekolah di Tanjong Mas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik mengesahkan kejadian itu.

Katanya, kes diklasifikasikan mati mengejut.

Bringat sek nnubo terr!

KOTA BHARU: Ekoran peningkatan aktiviti menuba ikan yang berlaku di negeri ini, Jabatan Perikanan Negeri Kelantan bakal menempatkan Anggota Sukarelawan Perikanan (SUPER) di daratan bagi membendung kegiatan itu.

Pengarahnya, Mohd Zin Saad berkata, sejak penubuhan SUPER pada 2014, ia banyak mengurangkan aktiviti pencerobohan nelayan asing di laut.

Katanya, kini SUPER akan ditempatkan di kawasan sungai negeri ini bagi memantau aktiviti menuba dan menangkap ikan secara renjatan elektrik.

"Hal ini berikutan setiap bulan kami menerima lima hingga enam aduan daripada orang awam mengenai aktiviti ini termasuk aduan meracun di kawasan sungai bagi memudahkan cara mendapatkan ikan.

"Mereka yang aktif melakukan aktiviti ini boleh didakwa mengikut Akta Perikanan Darat kerana menyebabkan kepupusan habitat ikan di kawasan sungai," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Penyampaian Agihan Pendapatan Projek Kluster Ternakan Ikan Air Payau, di Pantai Kundor, di sini, hari ini.

Pada program yang sama, Mohd Zin menyampaikan sebanyak RM45,000 agihan pendapatan kepada 10 peserta program terbabit.

Mohd Zin berkata perlaksanaan penguatkuasaan sukarelawan itu akan disegerakan di beberapa kawasan tumpuan aktif kegiatan terbabit.

Katanya, jika tidak dibendung dengan segera kegiatan itu akan menjejaskan ekosistem ikan termasuk anak ikan di sungai.

"Antara kawasan yang dilaporkan kerap melakukan aktiviti menuba ikan di Pasir Mas dan Kota Bharu," katanya.

Terima kasih KAFA penuhi permintaan - Zahasmi

KOTA BHARU: Pengendali Kelantan, Zahasmi Ismail sedia bekerjasama dengan Pengarah Teknikal yang baru di lantik Alfredo Carlos Gonzales dalam membantu mempertingkatkan kekuatan pasukan itu untuk mengharungi baki perlawanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Beliau berkata, walaupun masih tidak mengetahui dengan jelas tugas yang bakal diberikan kepada Alfredo nanti, namun dia bersedia.

"Saya berterima kasih kerana Tan Sri Annuar Musa mengambil langkah yang baik untuk pasukan dengan membawa masuk khidmat jurulatih dari luar negara dan ia keputusan yang perlu dilakukan pasukan ketika ini.

"Kelantan bermula dengan serba sederhana pada awal musim dan perubahan perlu dilakukan bila masa sahaja, dan mendapatkan khidmat jurulatih luar dilihat lebih berkesan.

"Namun, untuk kerjasama itu, saya belum mengetahui skop kerja yang akan dibuatnya, saya hanya tunggu arahan seterusnya daripada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA)," katanya.

Semalam, akhbar melaporkan KAFA membawa masuk dua tenaga import untuk memperkukuhkan kedudukan The Red Warriors (TRW) bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Dalam perkembangan sama, Zahasmi turut mengulas mengenai kemasukan pemain import kelahiran Gambia, Sanna Nyassi.

Beliau berkata pemain itu dibawa untuk menggantikan Alessandro Celin yang terpaksa diketepikan akibat masalah kecederaan.

"Kita kurang menggunakan tenaga import sepenuhnya sejak awal musim disebabkan pemain import yang kita miliki berada dalam kecederaan.

"Sejak itu, kita hanya mengharapkan sentuhan Ghaddar bagi memperkuatkan serangan pasukan Kelantan.

"Saya harap dengan kemasukan, Sanna Nyassi beliau dapat membantu menggerakkan jentera serangan pasukan dan cepat serasi bersama pemain lain termasuk pemain muda yang kita ada," katanya.