DAP mahu perguna PAS

KOTA BHARU: DAP dilihat sengaja mengeluarkan kenyataan tidak berasas dalam usaha pihaknya untuk terus memerangkap PAS.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, kenyataan yang dibuat itu adalah untuk menutup rasa kecewa mereka kerana sudah ditinggalkan oleh PAS.

Beliau berkata, sebaliknya, DAP perlu cermin diri mereka sendiri terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya.

"DAP sebenarnya mahu berbaik dengan PAS, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya dan saya ucap tahniah kepada PAS kerana berani mengambil risiko dengan putuskan tahaluf siyasi dengan bekas sekutunya itu.

"Ternyata apa yang diramalkan UMNO sebelum ini tepat dan PAS tidak kekal lama dengan DAP kerana parti sosialis itu berkiblatkan Parti Tindakan Rakyat Singapura (PAP)," katanya selepas merasmikan Larian Bendera sempena Hari UMNO Ke-71 di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar beranggapan DAP sebenar masih mahu menggunakan PAS sebagai alat politiknya tetapi gagal dan DAP hanya bersama dengan parti serpihan PAS, iaitu Parti Amanah Negara (PAN).

"DAP diibaratkan mahukan seluruh tubuh PAS tetapi kini hanya mendapat ibu jari kaki sahaja yang dibentuk melalui PAN dan saya ucapkan tahniah kepada PAS kerana memotong ibu kaki bagi menyelamatkan anggota badan yang lain.

Dalam pada itu, Annuar berkata UMNO kekal dengan pendirian asal untuk menolak parti DAP sejak tahun 1964 hingga selama-lamanya.

Ditanya mengenai kerjasama UMNO-PAS, Annuar berkata tiada sebarang halangan mengenai kerjasama itu kerana ia demi kebaikan agama dan bangsa.

"Kalau sebelum ini PAS boleh berkawan dengan DAP, kenapa perlu timbul soal menolak kerjasama UMNO-PAS. Malah ia dapat memberi kebaikan terutama membabitkan isu agama.

"Apa yang penting, jika wujud persamaan antara UMNO-PAS, kita sedia bila-bila masa sahaja untuk bekerjasama," katanya.

0 comments:

Post a Comment