KAFA perlu lantik peguam

KOTA BHARU: Penaja utama pasukan, Al-Hamra Group yang dipengerusikan, Tan Sri Annuar Musa mencadangkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) melantik peguam bagi menyelesaikan isu pendaftaran pemain import, Sanna Nyassi.

Katanya, sekiranya KAFA tidak melanggar undang-undang yang ditetapkan, tiada alasan persatuan bolasepak negeri itu memperjuangkan hak membawa masuk pemain untuk memperkuatkan pasukan.

"Saya hairan kenapa ada pihak mahu menghalang KAFA untuk mengambil pemain baru sedangkan pemain itu bukan dibawa oleh KAFA, tetapi ia dibawa oleh penaja.

"Saya membawa masuk Nyassi bagi menggantikan Alessandro Celin, ini bermakna Celin akan dilepaskan dan The Red Warriors (TRW) masih mematuhi syarat tiga pemain import yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini," katanya.

Mengulas lanjut, Annuar berkata bolasepak mempunyai peraturan yang membolehkan sesebuah pasukan menghentikan serta merta pemain yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang.

"Dalam bolasepak ada peraturan dipanggil 'sporting just cause' yang berfungsi untuk menamatkan kontrak pemain yang tidak beraksi agar pasukan berkenaan tidak menanggung kerugian.

"Jadi dalam kes Celin-Nyassi, peraturan itu yang cuba kita lakukan, pemain import yang tidak diturunkan disebabkan kecederaan atau beraksi tidak baik, kita tidak membayar gaji mereka sehingga hujung musim...perkara ini sepatutnya pihak berkenaan berbincang dahulu dengan kita sebelum bertindak," katanya.

Ditanya mengenai soal KAFA akan membuat rayuan mengenai pemotongan mata, Annuar berkata KAFA perlu berjuang mengenai hal itu dan jika perlu kepada rayuan, KAFA perlu lakukan.

"Isu pemotongan mata tidak menyelesaikan masalah yang ada sebaliknya memberi lebih tekanan kepada pemain dan pengurusan sesebuah pasukan.

"Jika mereka sentuh soal hutang, kenapa bekas pemain pertahanan Selangor, S. Subramaniam yang kini beraksi dengan Kelantan mengadu beliau masih belum menerima bayaran enam bulan gaji daripada bekas majikannya itu.

"Kenapa hal itu seolah-olah ditutup, bukankah ia situasi yang sama," katanya.

Akhbar melaporkan empat pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dikenakan hukuman potong enam mata kerana tidak melunaskan tunggakan gaji pemain sehingga gagal melengkapkan pengesahan penyertaan pertandingan liga berkenaan yang berakhir pada Disember 2016.

0 comments:

Post a Comment