Tidak ada kajian Pakatan Harapan boleh menang- Ahmad Yakob

KOTA BHARU - PAS yakin Pakatan Harapan tidak akan mampu menumbangkan kerajaan negeri Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang.
Timbalan Mursyidul Am, Datuk Ahmad Yakob berkata, sehingga hari ini, belum ada kajian dan fakta kukuh yang mengatakan Pakatan Harapan itu kuat.
Katanya, pihaknya juga tidak bimbang dengan ancaman pakatan berkenaan sebaliknya optimis PAS mampu menghadapi tentangan dalam PRU nanti.
"Setakat ini tidak ada ramalan, jadi kita tidak bimbang malah jika berlaku pertembungan tiga penjuru sekali pun, kita akan terima kerana ia adalah adat demokrasi yang diamalka.
"PAS adalah blok ketiga pembangkang di negara ini dan walaupun begitu, kami yakin dapat menggugat kedudukan BN dalam PRU kali ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Seminar Ahli Majlis dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Kelantan di sebuah hotel di sini hari ini.
Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa bahawa PAS dan UMNO boleh bersatu dan tidak perlu bermusuh, Ahmad berkata, kedua-dua parti itu sememangnya tiada persefahaman sejak dahulu lagi.
"UMNO adalah musuh tradisi PAS di negeri ini, dan kita akan tetap melawan mereka sama seperti melawan DAP.
"Kita hanya bekerjasama jika ia membabitkan kepentingan rakyat seperti yang dilakukan antara kerajaan pusat dan negeri, namun dalam politik, kita tidak dapat bekerjasama," katanya.



0 comments:

Post a Comment