PASIR MAS: Seorang guru wanita meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung ketika sambutan hari guru di Sekolah Kebangsaan Othman Talib (1) ,Tendong, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengahari tadi, mangsa, Naizura Mohamed, 42 dikatakan menyertai satu persembahan pentas bersama murid sekolah dan tiba-tiba rebah sebelum dibawa menaiki ambulans ke Klinik Kesihatan Tendong.
Guru Besar sekolah berkenaan, Zulhadi Mahamad berkata persembahan pentas yang disertainya adalah persembahan penutup majlis sambutan hari guru.
Katanya, sebelum acara bermula mangsa sudah kelihatan lesu dan rakan guru sudah memberi nasihat kepadanya untuk pulang berehat di rumah.
"Pagi tadi, muka arwah pucat dan letih semasa berkumpul bersama guru-guru lain di dewan sekolah sebelum acara sambutan bermula.
"Bimbang dengan keadaan itu, beberapa rakan guru menasihatnya untuk berehat di bilik guru dan dia dibenarkan untuk pulang ke rumah jika keadaannya tidak mengizinkan.
"Namun sebaik sahaja jamuan tengahari tadi, beliau meneruskan persembahan penutup bersama murid kelasnya dan tiba-tiba rebah ke lantai," katanya.
Zulhadi berkata keadaan itu mengejutkan warga guru dan tindakan pantas guru dengan memberikan bantuan penafasan (CPR) gagal menyelamatkannya.
"Sebaik dia rebah, ada di kalangan guru cuba memberikannya bantuan penafasan (CPR) tetapi gagal.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (II) untuk dibedah siasat," katanya.
0 comments:
Post a Comment