Cabaran calon UMNO PRU nanti


Pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) nanti boleh dinobatkan yang paling sengit dalam sejarah negara dan teramat mencabar terutamanya kepada calon Barisan Nasional (BN).

Pahlawan-pahlawan BN dan UMNO sentiasa meniupkan api perkauman, dengan menyatakan DAP akan memerintah negara sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang.

Namun, tidakkah mereka sedar bahawa rakyat sekarang lebih celik dan tidak mudah termakan dengan momokan yang diberikan oleh UMNO atau BN?

Apa yang menjadi kebimbangan atau orang putih cakap 'concern' bagi rakyat adalah isu-isu yang dibangkitkan oleh PH yang masih belum dijawab sepenuhnya oleh pemimpin UMNO?

Hendak disebut isunya, nampak sangat 'cliche' namun sudahkah mereka menjelaskan berkait dengan 1MDB, cukai perkhidmatan dan barangan (GST), derma bernilai RM2.6 bilion?

Ya, mungkin ada penjelasan yang diberikan, namun bagaimana dengan rakyat di luar bandar? Mereka tidak berhak untuk mengetahui perkara itu? Atau sekadar menyerahkan kepada Ketua UMNO Bahagian (KUB) masing-masing untuk menjelaskan?

Untuk pengetahuan, tidak semua KUB yang memahami isu terbabit, malah ada antaranya tergagap-gagap ketika ditanya oleh rakyat, dan menuntup kepincangan itu dengan mengatakan "masih dalam siasatan".

Mungkin betul masih dalam siasatan, mungkinlah...tapi dengan penjelasan yang bercelaru mampu menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat, sudahnya apa akan jadi?

Terus terang mengatakan, ketika ini, kebanyakkan penduduk luar bandar mengambil sikap untuk tunggu dan lihat, dan ada antara mereka bersikap untuk menjadi penyokong atas pagar.

Bukan hanya rakyat, malah ahli UMNO mahupun penghulu sendiri memilih untuk berdiam diri selepas tidak mampu untuk menjawab soalan yang diajukan di parlimen rakyat (kedai kopi).

Bukan penjelasan yang sepenuhnya dimahukan, tetapi cukuplah ianya dapat difahami, mempunyai asas yang kukuh bersertakan fakta.

Ini tidak, setiap kenyataan yang dikeluarkan sentiasa berubah dan bercanggah dengan apa yang berlaku.

Mahu contoh paling mudah? Isu RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimana diawalnya, Datuk Ahmad Maslan menafikan Najib menerima RM2.6 bilion dalam akaun peribadi, dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO sudah diberikan taklimat mengenai perkara itu.

Tetapi selepas diasak oleh pembangkang, kenyataan terbabit sedikit berubah dengan menyatakan ia adalah difitnah pembangkang yang mahu menjatuh BN (sudah tugas mereka begitu).

Ia disusuli pula dengan kenyataan Najib yang mahu memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap Wall Street Journal (WSJ) di Amerika Syarikat (AS). Sebaik mendengar kenyataan ini, rata-rata penyokong UMNO gembira kerana ia satu tindakan berani, tetapi bila mahu saman daaa...

Selepas beberapa kali hari Selasa, tiba-tiba keluar kenyataan bahawa wang terbabit wujud dalam akaun peribadi Najib, tetapi ianya adalah derma daripada Arab Saudi.

Itu hanya satu contoh, masih belum masuk isu lain, dan contoh terbabit merupakan isu yang paling popular dibahaskan di sidang parlimen rakyat di kampung-kampung.

Jadi bagaimana calon BN akan menangani isu terbabit pada PRU nanti jika kenyataan Pengerusi BN, Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Menteri Kewangan sendiri caca marba.

Untuk itu, persiapkan diri sebaik mungkin dan belajarlah cara untuk berhujah dengan fakta, dan pastikan hati kena kental kerana ianya terlalu sukar untuk menaruh kembali keyakinan rakyat.

Semoga berjaya.





Henti lobi, turun ke bawah tanya rakyat

Ulasan : Bahang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) semakin dekat, tindakan melobi untuk menjadi 'calon' semakin menjadi-jadi terutamanya di kalangan orang UMNO.

Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah mempunyai 'senarai' nama calon, namun selagi belum diumumkan, masih ada yang fikir boleh potong di 'last corner'.

Walaupun boleh dikatakan majoriti calon yang akan diumumkan oleh Najib Razak nanti calon 'kitar semula' namun masih ada Yang Berhormat (YB) bermimpi untuk menjadi calon sekali lagi biarpun tewas 'straight set'.

Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa ada antara calon yang tewas ini cuba mengintai kerusi yang dahulunya dimenangi oleh calon yang lain.

Gerakan untuk menjatuhkan calon yang menang terbabit sudah pun dijalankan, malah ada yang cuba menggunakan 'kabel' Putrajaya bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

Untuk pengetahuan YB UMNO, rakyat dibawah sebenarnya tidak akan menyatakan sokongan terhadap calon yang tidak dikenali atau lebih sesuai 'orang luar' menjadi wakil mereka.

UMNO bukan seperti PAS, rakyat menyokong UMNO atas kewibawaan calon terbabit, mampukah mereka membawa suara rakyat.

Berbeza dengan PAS, kebanyakkan rakyat menyokong parti berkenaan tanpa mengira siapa calon (tetapi sekarang rakyat lebih bijak memilih). Namun, peluang itu agak tipis.

Untuk itu, sebelum melobi pembesar di Putrajaya, lobi dahulu hati rakyat di kawasan sendiri, melobi bukan menggunakan wang, tetapi beri penjelasan kepada mereka isu yang sedang dimainkan pembangkang.

Politik menghentam peribadi calon lain sudah tidak relevan, tetapi penjelasan dan ketelusan yang menjadi perkara terpenting ketika ini.

Penutup, fikir dan renungkan apa yang sudah dilakukan bagi menambat hati rakyat.

Bantu golongan kurang berkemampuan

Saidi (tengah) menyerahkan baju t-shirt kepada sebahagian daripada 60 orang Pengerusi JKKKP, ketua UMNO cawangan dan PDM dari DUN Pasir Tumboh.
Kota Bharu: Biro Kebajikan UMNO Bahagian Kubang Kerian meningkatkan program membantu golongan kurang berkemampuan termasuk ibu tunggal di kawasan Parlimen Kubang Kerian.

Pengerusi biro berkenaan, Datuk Saidi Mohd Noor berkata, program itu digerakkan bersama dengan mendapat sokongan dan kerjasama daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di setiap mukim selain ketua UMNO cawangan dan penggerak di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Katanya, maklumat mengenai kedudukan keluarga kurang berkemampuan dapat dilaksanakan dengan berkesan melalui bantuan jentera peringkat hadapan seperti Pengerusi JKKKP, ketua UMNO cawangan dan PDM kerana mereka lebih dekat dengan masyarakat setempat.

"Biro Kebajikan UMNO Bahagian Kubang Kerian sentiasa turun padang dan menggerakkan program membantu golongan sasar itu dengan kerjasama pemimpin peringkat setempat.

"Melalui program turun padang itu. kita juga dapat mengenal pasti golongan kurang berkemampuan dan senarai nama mereka boleh diangkat kepada agensi kerajaan berkaitan untuk disenaraikan dalam daftar E-Kasih bagi membolehkan bantuan bersesuaian disalurkan," katanya di Pasir Tumboh, hari ini.

Saidi berkata, golongan kurang berkemampuan dan ibu tunggal yang memerlukan bantuan perlu tampil memberi maklumat diri sebelum saluran bantuan bersesuaian dapat dilakukan kepada mereka.

Beliau berkata, lebih mudah mereka terbabit menyalurkan maklumat itu kepada Pengerusi JKKKP di setiap mukim atau melalui Biro Kebajikan UMNO bahagian Kubang Kerian untuk tindakan selanjutnya.

"Kita mempunyai jaringan dan barisan hadapan seperti Pengerusi JKKKP, ketua UMNO cawangan dan PDM dalam mengerakkan usaha membantu golongan sasar yang memerlukan pembelaan di peringkat akar umbi.

"Dalam pertemuan dengan kira-kira 60 orang jentera hadapan seperti Pengerusi JKKKP, ketua cawangan dan PDM di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh baru-baru ini, saya beri penekanan terhadap usaha membantu golongan kurang berkemampuan," katanya.

Pada pertemuan itu, Saidi turut menyampaikan baju t-shirt untuk pengerusi JKKKP, ketua cawangan dan PDM dari kawasan DUN Pasir Tumboh yang hadir.

Masyukkk boh, RM13 juta 13 hari

KUALA LUMPUR: Filem Abang Long Fadil 2 (ALF2) mengutip RM13 juta selepas 13 hari ditayangkan di 120 pawagam di seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura.
Mula menemui penonton pada 23 Ogos lalu, ALF2 dijangka mampu melakar satu lagi sejarah dalam dunia sinematik tempatan berikutan prestasi baik ditunjukkan memasuki minggu ketiga tayangan.
Sehingga kelmarin, ALF2 menduduki tangga pertama dalam carta 'box office' mengatasi judul antarabangsa bagi filem yang ditayangkan dalam tempoh dua minggu.
Penerbit ALF2, Datuk Yusof Haslam memberitahu, sambutan luar biasa terhadap karya terbitan Skop Production Sdn Bhd dan Astro Shaw itu membuktikan industri perfileman masih disokong penonton tempatan.
"Filem bukanlah produk yang boleh dijangka. Sama seperti penerbit lain, awalnya saya bimbang apabila melihat tidak banyak filem mencecah kutipan pecah panggung sehingga bulan lalu," katanya kepada BH Online.
Sebelum ini, ALF2 yang diarahkan Syafiq Yusof, dilaporkan mengutip RM700,000 pada hari pertama tayangan. Filem itu dibintangi artis popular seperti Zizan Razak, Syamsul Yusof, Datuk AC Mizal, Wak Doyok dan Tania Hudson.
Yusof berkata, selain kekuatan cerita dan mutu produksi, ALF2 mencapai kejayaan berikutan musim cuti sekolah dan Aidiladha.
"Alhamdulillah, semua pawagam masih menayangkan filem ini. Selepas berbincang dengan Astro Shaw, mereka bersetuju mengekalkan filem ini di pawagam selagi mendapat sambutan.
"Saya berterima kasih kepada Astro Shaw yang banyak menyokong daripada segi pemasaran dan promosi. Kami berharap filem ini dapat memecahkan rekod kutipan tertinggi," katanya.
Sebelum ini, filem Polis Evo yang ditayangkan tahun lalu mencatat kadar jualan tiket terbanyak iaitu RM17,740,000.

Mek Bibi mahu tanding Presiden KAFA ?

Usahawan Batik, Bibi Ramjani Ilias Khan
KOTA BHARU: Usahawan wanita terkenal di Kelantan, Bibi Ramjani Ilias Khan menawarkan diri merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Pengurus Desa Murni Batik Kota Bharu itu bersedia menerajui KAFA tanpa mengenakan sebarang syarat termasuk tidak akan menjadikan pasukan The Red Warriors (TRW) sebagai platform perniagaan.
Pada awalnya, Bibi Ramjani hanya berhasrat untuk menjadi sebahagian daripada penaja untuk pasukan TRW musim hadapan.
Katanya, beliau banyak bergaul dengan orang ramai, termasuk penyokong bola sepak Kelantan dan mereka memintanya melakukan perubahan
"Saya menyambut hasrat itu mahu menaja pasukan terbabit. Namun apabila saya fikirkan semula, jika betul niat mahu membaik pulih pasukan, lebih baik lakukan perubahan terhadap pasukan dan persatuan.
"Daripada situ, saya rasa lebih baik saya tawarkan diri untuk bertanding sebagai Presiden," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Bibi Ramjani yang juga anak jati Kok Lanas berkata, perkara pertama yang akan dilakukan jika dipilih sebagai Presiden KAFA ialah memastikan kewangan persatuan stabil termasuk menyelesaikan hutang.
Katanya, KAFA di bawah kepemimpinan yang sedia ada kini sudah melakukan yang terbaik untuk mengurus pasukan dan masalah yang timbul sebelum ini disebabkan kekurangan dana.
"Saya lihat KAFA cuba sedaya upaya bagi memastikan pasukan bersaing pada musim ini, cuma mereka tidak bernasib baik dan kekurangan dana untuk menampung perbelanjaan pasukan.
"Jadi timbul soal tidak membayar gaji pemain dan sebagainya. Namun, saya akan cuba dengan pengalaman yang ada dalam bidang perniagaan untuk memastikan kewangan KAFA pada musim depan stabil dan menyelesaikan masalah hutang," katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor membuat tawaran terbuka kepada mana-mana individu untuk memimpin KAFA pada Kongres Agung Tahunan Kali ke-43 pada 16 September ini. - Berita Harian

KAFA tak retak TRW tak dingin...Annuar mungkin kembali

KOTA BHARU: Selepas melepaskan tampuk kepimpinan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) 8 November tahun lalu, Tan Sri Annuar Musa mencadangkan kembali namanya sebagai Presiden persatuan itu.

Beliau berkata, cadangan itu hanya akan berlaku sekiranya tiada calon lain tampil menawarkan diri.

Katanya, sekiranya keadaan terlalu rumit, beliau sedia melakukan u-turn dan mengambil balik jawatan yang pernah disandangnya sembilan tahun lalu.

"Saya harap ia tidak berlaku...saya mahu melihat KAFA diberi peluang kepada individu lain yang mampu menaikkan kembali pasukan Kelantan.

"Jika tiada calon sangat, saya sedia duduk semula dan berbincang dengan Exco KAFA mengenai perkara itu," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Annuar yang pernah mengisi jawatan itu selama sembilan tahun berkata prestasi pasukan boleh terjejas jika perkara ini masih berlanjutan.

"Saya tidak mahu The Red Warriors (TRW) terus rosak dan hancur...saya juga sedia memberi bantuan kepada bakal presiden kerana bola sepak sudah menjadi satu tanggungjawab saya kepada rakyat.

Dalam masa sama, Annuar menegaskan kepada barisan exco yang tidak memberi sumbangan terhadap kemajuan persatuan dan pasukan untuk mengosongkan jawatan itu agar dapat diisi oleh calon yang lebih layak.

"Mana-mana exco dalam KAFA yang hanya menumpang dan ambil kesempatan dengan jawatan itu agar rela hati untuk melepaskannya.

"Ini kerana jika perkara itu terus berlaku ia akan merosakkan KAFA sekaligus menjejaskan pasukan TRW untuk musim akan datang...jangan kita tamak kerana kepentingan diri sendiri," katanya.

Rupa-rupanya tulang kambing

Rangka yang ditemui di Kampung Paya Rambai, di sini, semalam.

KOTA BHARU: Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan mengesahkan penemuan rangka di Kampung Paya Rambai, Kota Bharu, 7 petang semalam adalah tulang kambing.

Penemuan itu menggemparkan penduduk dan seorang lelaki berusia 50 tahun kemudian membuat aduan kepada polis.

Hasanuddin berkata, polis menerima pada jam 7.05 petang.

"Susulan menerima laporan itu, anggota polis unit peronda (MPV) dan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bergegas ke lokasi penemuan.

"Tulang berkenaan ditemui pada jarak 15 meter dari rumah pengadu. Hasil siasatan polis menemui beberapa tulang di bahagian belakang, paha dan rusuk yang berada di atas tanah.

"Keadaan tulang dipercayai sudah lama dan ia dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk siasatan lanjut dan megesahkan bahawa ia adalah tulang kambing," katanya ketika ditemui di IPK, Kota Bharu, hari ini.

Lagi ramai lebih baik - Annuar

KOTA BHARU: Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mahu bakal presiden persatuan itu meminati bola sepak.

Annuar yang pernah menerajui KAFA selama sembilan tahun itu berkata dia mengalu-alukan kemunculan individu yang mengesahkan hasrat mereka untuk membawa pembaharuan imej terhadap bola sepak Kelantan.

Katanya, perkembangan ini dilihat positif terhadap masa depan bola sepak Kelantan dan berharap lebih ramai akan tampil agar satu pemilihan terbaik dapat dilak thukan.

"Alhamdulillah nampaknya sudah muncul orang berminat jadi Presiden KAFA. Ini harus dialu-alukan.
Saya harap akan ada lagi yg tampil. Lebih ramai lebih baik.

"Cuma perlu saya peringatkan sesiapa yang mahu memimpin kafa perlulah benar-benar meminati sukan itu dan bukan sekadar memikirkan publisiti dan perniagaan," katanya.

Dalam entri yang sama, Annuar turut menjelaskan individu yang mahu memikul tanggungjawab sebagai Presiden KAFA perlu mengetahui mengurus pasukan secara keseluruhan dan tidak hanya fokus kepada The Red Warriors (TRW) sahaja.

Katanya, KAFA juga bertanggungjawab mengurus pasukan The President Warriors (TPW); The Young Warriors (TYW); Ahli Gabungan; Pasukan Futsal ; Pasukan Bola Sepak Wanita ; kejurulatihan dan pengadil.

"Untuk mengendalikan semua itu, KAFA memerlukan bajet tahunan tidak kuran dari RM12 juta atau kira-kira RM 1 juta sebulan.

"Saya percaya tokoh-tokoh yang menawarkan diri mampu melaksanakan tanggungjawab itu...Selamat Maju Jaya KAFA!," katanya.

Akhbar semalam melaporkan Presiden Kumpulan SecretLeaf International Sdn Bhd, Amir Ramadzan menawar diri bagi merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tanpa mengenakan sebarang syarat.

Polis edar foto fit suspek tikam

PASIR MAS: Polis giat memburu seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki berusia 33 tahun dalam sebuah premis makanan segera di Gual Tinggi, Rantau Panjang, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Ibrahim Saad, berkata suspek yang diburu dikenali Saw Kim San berusia 31 tahun berasal dari Jalan Besar, Tumpat.

"Kita sedang mengesan suspek dalam kes terbabit dan percaya suspek masih berada di negeri ini.

"Kita meminta kerjasama orang ramai dan penduduk sekitar yang mengenali suspek supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di talian 09 7932222.

 "Kita juga meminta suspek supaya tampil menyerah diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Kekseksaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut perkara itu, Ibrahim berkata, siasatan awal terhadap kes terbabit adalah berpunca angkara cinta tiga segi.

Katanya, mangsa mati akibat menerima tikaman pada bahu kiri dengan menggunakan senjata tajam.

Sebelum ini akhbar melaporkan seorang lelaki maut ditikam di sebuah premis makanan segera di Gual Tinggi, pada jam 5.45 petang,  17 Ogos lalu.

Sebelum kejadian mangsa, Lee Boon Guan, 33 sedang menikmati makanan segera bersama seorang wanita berusia 30-an di tingkat satu premis berkenaan.
 
Ketika makan, seorang lelaki berusia 30-an yang membawa beg galas menghampiri mereka dan sempat berbual sebelum suspek mengeluarkan sebilah pisau dan menikam mangsa.

Selangor bila pula?

Hanya tinggal negeri Selangor yang masih belum menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya sudah pihaknya sudah berhubung dengan kerajaan negeri berkenaan IBR.

Katanya, namun sehingga kini kerajaan Selangor masih memberi tarikh untuk berbuat demikian.

"Kita harap (kerajaan negeri) Selangor memandang perkara ini dengan serius dan menyahut cabaran mahu semua negeri menandatangani IBR sebagai komitmen untuk pastikan pentadbiran negeri bersih daripada rasuah.

"SPRM sudah hubungi kerajaan negeri Selangor untuk tujuan berkenaan dan setakat ini mereka bersetuju melaksanakannya, namun mereka belum memberi tarikh. Kita berharap perkara itu dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Lafaz dan Menandatangani IBRAR bersama Menteri Besar Kelantan dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Aset Isa mungkin di beku

Isa diiringi pegawai SPRM - pic by The Malaysian Insight
Kota Bharu: Ekoran penahanan bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holding Berhad (FGV), Tan Sri Isa Samad, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) masih belum membuat keputusan untuk membekukan aset miliknya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, keputusan berhubung perkara itu akan dibuat menerusi keterangan yang diperoleh.

Katanya, siasatan terhadap kes berkenaan masih dijalankan.

"Berkenaan aset itu, kita belum tentukan sama ada mahu beku atau sebaliknya kerana ia bergantung kepada keterangan yang diperoleh.

" Saya perlu dapatkan maklumat lanjut dari pegawai penyiasat dan keputusan akan dibuat selepas perbincangan dijalankan," katanya selepas Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah bersama Menteri Besar Kelantan dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim di Kota Bharu tadi.

Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Semalam SPRM menahan Mohd Isa bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian dua buah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Sumber berkata, Mohd Isa ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 2.40 petang untuk memberi keterangan lanjut berhubung pembelian dua hotel oleh FIC antara tahun 2014 dan 2015.

Padan muka! Catt Ginger ditahan polis

KUALA LUMPUR: Polis telah menahan pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama 'Catt Ginger' yang didakwa menghina Yang DiPertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Ketua Polis Negara Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengesahkan perkara tersebut di laman Twitter rasminya memaklumkan tangkapan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.

Dalam status Facebook tersebut, pengguna yang menggunakan nama Facebook 'Catt Ginger' bertindak kurang ajar dengan memuat naik gambar Sultan Muhammad V yang telah disunting dengan gambar kurang sopan.

Pengguna Facebook itu turut meletakkan ucapan Selamat Hari Raya pada 25 Jun lepas yang merupakan hari pertama umat Islam menyambut Aidilfitri.

Bagaimanapun, individu berkenaan difahamkan telah memuat naik kenyataan di laman Facebooknya pada 1 Julai lepas menafikan bahawa dia telah menghina Sultan Muhammad V selain telah membuat laporan polis dan juga Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM). - Astro Awani

Kurang fasiliti alasan Alfredo

KOTA BHARU: Pengurus pasukan Kelantan, Alfredo Gonzalez enggan menyalahkan anak buahnya ekoran kekalan 0-2 kepada Sarawak sebaliknya menyalahkan kekurangan fasiliti yang dialami.

Alfredo berkata, ketiadaan tempat latihan yang sempurna menyebabkan pemain tidak dapt menjalani sesi latihan yang mencukupi.

"Kesilapan pasukan bukan satu dan banyak aspek yang perlu diperbaiki semula termasuk membabitkan fasiliti latihan yang menjadi asas utama kepada pasukan.

"Pemain bukan tidak berlatih, pemain datang berlatih tetapi mereka tidak mendapat asas latihan sempurna sehingga pasukan terpaksa berlatih di padang yang jauh pada bulan Ramadan.

"Dan selama masa itu pasukan tidak berlatih di Stadium Sultan Muhammad Ke IV kerana tidak dibenarkan disebabkan program Kerajaan Negeri... jadi siapa yang harus membayarnya? Kenapa menyalahkan kami juga ?," katanya dalam sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Dalam masa sama, Alfredo turut mempertahankan formasi yang diterapkan dalam perlawanan itu dan menyifatkan ia dilakukan sesuai dengan keadaan pasukan ketika ini.

"Jangan salahkan formasi, saya tahu keadaan pasukan dan perlu berbuat demikian bagi mengelakkan keadaan lebih teruk lagi berlaku.

"Selasa ini, TRW akan bertemu UITM FC bagi kempen Piala Malaysia dan kita akan segera atasi kelemahan itu," katanya.

Sementara itu, jurulatih Sarawak, David Usop berkata, kemenangan itu menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk menyelamatkan pasukan daripada zon penyingkiran Liga Super musim ini.

"Kemenangan ini dapat melegakan pasukan dan penyokong dari menyelamatkan diri dari zon merah.

"Walaupun menang dalam perlawanan di tempat lawan tetapi Sarawak masih belum mencipta kemenangan di laman sendiri, itu yang kita bimbang dan saya harap kemenangan kali ini dapat dijadikan motivasi bagi membaiki rekod pasukan," katanya.