Adi cerai dua isterinya

Kuala Lumpur : Pelakon, Adi Putra, mengesahkan beliau sudah pun berpisah dengan kedua-dua isterinya, Aida Yusof dan Norshahida Dzolkifly.

Adi, 36, mengumumkan perkara itu menerusi laman sosial Instagramnya, sebentar tadi.

"Ramai yang bertanyakan mengenai status rumah tangga saya. Di sini saya ingin nyatakan, saya tidak ada apa-apa hubungan dan kaitan lagi dengan Aida dan Shahida (Norshahida). Kepada rakan media yang saya hormati, tiada apa-apa kenyataan lagi untuk diberi.

"Dan berilah penghormatan kepada Aida dan Shahida supaya tidak diganggu. Terima kasih," tulis beliau di laman sosialnya yang diikuti lebih 858,000 pengikut itu.

Baru-baru ini, ada laporan mengatakan pelakon KL Gangster itu membuat pendaftaran di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur untuk bercerai dengan Aida yang juga seorang penerbit drama, awal Mac lalu.

Hasrat untuk berpisah itu juga bukan kali pertama dilakukan kerana pada Mei 2012, pelakon terbabit pernah berbuat perkara sama.

Saat itu, Adi pernah memaklumkan kepada media, beliau dan bekas isteri pertamanya mengambil keputusan untuk berpisah secara baik selepas pelbagai usaha bagi menyelamatkan rumah tangga mereka gagal.

Sekitar penghujung tahun lalu juga, wujud gosip mengatakan hubungannya dengan bekas isteri kedua, Norshahida, berdepan masalah, namun beliau menafikan perkara berkenaan.

Adi dan Aida berkahwin pada 14 April 2006. Mereka tidak dikurniakan zuriat selepas kira-kira sedekad mendirikan rumah tangga.

Pada 20 Jun tahun lalu, Adi berkahwin pula dengan Shahida. Ia menjadi cerita sensasi di media apabila pernikahan berkenaan dikatakan tidak diketahui Aida.

Sebelum itu, Adi dan Shahida adalah rakan kongsi perniagaan.


0 comments:

Post a Comment