Tilapia rawat kulit terbakar

Fortaleza (Brazil): Doktor di sini sedang menguji penggunaan kulit ikan tilapia sebagai pembalut untuk merawat luka terbakar darjah kedua dan ketiga.
Walaupun kulit haiwan sudah lama digunakan dalam rawatan mangsa kebakaran di negara maju, Brazil tidak mempunyai kulit manusia atau pilihan alternatif seperti yang senang didapati di Amerika Syarikat.
Namun, ikan tilapia diternak secara meluas di Brazil dan kulitnya sebelum ini dianggap sebagai sampah.
Pakar bedah plastik dan pakar rawatan kebakaran, Dr Edmar Maciel mengetuai ujian klinikal bagi penggunaan kulit tilapia ini.
Katanya, Brazil hanya mempunyia tiga bank kulit yang dapat menampung satu peratus daripada permintaan negara itu.
Akibat itu, pesakit am di Brazil kebiasaannya dirawat dengan pembalut kasa dan krim sulfadiazine perak.
Kasa itu perlu ditukar setiap hari menyebabkan rasa sangat sakit.
Namun, tidak seperti pembalut kasa, kulit tilapia yang disterilkan tidak perlu ditukar hari-hari.
Maciel berkata, analisis kulit ikan adalah langkah pertama dalam proses penyelidikan itu.
"Kami terkejut apabila mendapati jumlah protein kolagen terutamanya jenis 1 dan 3 yang penting untuk pembentukan parut didapati dalam jumlah banyak dalam kulit tilapia dan lebih banyak berbanding kulit manusia atau kulit lain.
"Faktor lain yang ditemui adalah tahap ketegangan kulit tilapia lebih tinggi berbanding kulit manusia selain jumlah kelembapan," kata Maciel.
Bagi pesakit dengan kesan terbakar superfisial darjah kedua, doktor meletak kulit tilapia dan meninggalkannya sehingga parut terbentuk. Bagi luka terbakar tahap kedua yang lebih teruk, pembalut tilapia perlu ditukar beberapa kali namun tidak sekerap penggunaan pembalut kaza dan krim.
Rawatan tilapia juga mengurangkan masa pemulihan dan penggunaan ubat tahan sakit, kata Maciel.
Seorang nelayan, Antonio dos Santos bersetuju melakukan rawatan tilapia sebagai ujian klinikal selepas tangan kanannya terbakar akibat letupan tong gas di botnya.
"Selepas mereka meletakkan kulit tilapia, rasa sakit berkurangan. Memang menarik rawatan seperti ini dapat dilakukan," katanya.
Kelompok awal kulit tilapia dikaji dan disediakan oleh kumpulan penyelidik di Federal University of Ceara.
Juruteknik makmal menggunakan pelbagai agen pensteril seblum menghantarnya ke Sao Paolo untuk proses radiasi bagi membunuh virus.
Ia kemudian dibungkus dan dibekukan.
Selepas dibersihkan dan dirawat, ia dapat bertahan selama dua tahun.

0 comments:

Post a Comment