London: Angka terkini pihak berkuasa Britain menyatakan selain lima mati, termasuk penyerang dan seorang polis, kira-kira 40 lagi cedera dalam serangan di atas Jambatan Westminster dekat bangunan Parlimen, malam tadi (waktu Malaysia).
Puluhan mangsa dilihat terbaring di atas jalan raya selepas kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki berkenaan merempuh orang ramai di atas jambatan. Seorang mangsa dilihat berada di bawah bas.
Wanita yang diselamatkan dari Sungai Thames selepas terjun dari jambatan bagi mengelak dilanggar kereta itu, cedera parah dan antara mangsa yang cedera ialah tiga pelajar sekolah Perancis berusia antara 15 hingga 16 tahun.
Seorang saksi, Bernadette Kerrigan, yang berada di atas bas di jambatan itu memberitahu Sky News: “Saya nampak sebuah kereta yang bagaikan hilang kawalan merempuh orang ramai di laluan pejalan kaki.
“Ramai terbaring di atas jalan raya. Saya nampak sekurang-kurangnya 10 orang dan tidak lama kemudian ambulans mula sampai.
Wartawan Daily Mail, Quentin Letts, memberitahu LBC radio, dia melihat penyerang itu menikam polis sebelum penyerang terbabit ditembak di perkarangan Parlimen.
“Dia (penyerang) berlari masuk melalui pintu yang terbuka. Saya nampak dia seperti mencucuk polis berkenaan dan mangsa kemudian rebah. Penyerang itu kemudian berlari ke arah pintu masuk yang digunakan Ahli Parlimen sejauh kira-kira 20 meter sebelum dua anggota polis berpakaian biasa menembaknya,” katanya.
Perdana Menteri Britain, Theresa May, yang mengutuk serangan itu berkata: “Ini bukan kemalangan atau kebetulan. Ia adalah serangan kerana lokasi kejadian bukan satu kebetulan.
“Pengganas memilih untuk menyerang ‘jantung’ bandar raya kami, tempat semua bangsa, agama dan budaya bersama menyanjung nilai demokrasi dan kebebasan bercakap.
“Sebarang cubaan menggugat nilai-nilai itu akan gagal,” katanya.
Anggota polis yang mati dikenali sebagai Keith Palmer, 48, yang sudah 15 tahun berkhidmat.
Daily Mail melaporkan penyerang ialah lelaki Asia berusia pertengahan umur manakala Reuters melaporkan, polis sudah mengenal pasti identiti penyerang dan disyaki mempunyai kaitan dengan pelampau Islam. - Reuters
Home »
bernadette kerrigan
,
London
,
MNC
,
perancis
,
sungai thames
» Pelajar sekolah antara 40 cedera
0 comments:
Post a Comment