Barisan Nasional sekali membuat pusingan 'U' apabila mengambil keputusan untuk tidak membentangkan hal berkaitan Rang Undang-undang 355 (RUU 355) dalam Dewan Rakyat.
Menurut Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa, keputusan BN itu membuktikan bahawa parti itu konsisten dengan amalan dan tradisi dalam memutuskan sesuatu perkara.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi menghormati parti komponen lain dalam BN yang tidak bersetuju bahawa tugas membentangkan RUU 355 diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan.
"Ini adalah antara kunci kekuatan BN di mana solidariti parti sentiasa diutamakan dalam suasana saling menghormati sesama komponen yang lain.
"Keputusan itu (tidak membentangkan) dibuat secara konsensus selepas mengambil kira pandangan parti komponen yang lain, malah amalan ini juga yang membezakan BN dan Pakatan Harapan (PH)," katanya.
Beliau berkata, keputusan itu juga membuktikan bahawa BN mementingkan hak dan kebebasan setiap ahli parlimen.
Katanya, kini perkara itu tertakluk kepada PAS dan mereka sendiri yang akan membawa perkara itu ke parlimen.
"Sekarang bola tetap di kaki PAS, mereka parti yang ada gabungan seperti PKR dan ada individu yang selama ini 'pejuang Islam' yang dulu bersama mereka.
"Ini merupakan ujian buat PAS dan kita bakal lihat sejauh mana solidariti sesama mereka dapat dipertahankan.
"Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kuasa dan hak untuk memberikan penjelasan kepada rakan kongsi mereka dan perlu memahami semua ini secara mendalam sebelum boleh menentukan sama ada bersetuju sebaliknya.
Katanya, walau bagaimanapun pendirian rasmi UMNO terhadap akta persendirian itu masih belum diputuskan lagi kerana masih banyak perkara yang perlu difahami.
"Banyak lagi prosedur yang perlu dilalui dalam menggubal sesuatu akta dan ada beberapa langkah serta kaedah ke arah menjayakan hasrat ini.
"Orang ramai juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi," katanya.
0 comments:
Post a Comment