Eksport tilam kenaf ke Korea Selatan

Pulau Pinang: Sebanyak satu kontena 40 kaki (footer) dengan kuantiti 180 tilam berasaskan produk kenaf dieksport buat pertama kalinya ke Korea Selatan membabitkan nilai hampir RM120,000.

Ketua Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Samsudin Noor berkata, tilam berasaskan fiber kenaf dari negara ini mendapat permintaan yang tinggi daripada negara luar termasuk Korea Selatan dan Jepun.

"Buat pertama pengeksportan tilam berasaskan fiber kenaf yang dihasilkan syarikat Coco Industry Sdn Bhd melalui syarikat E-Kenaf Sdn Bhd (E-Kenaf) dengan kerjasama LKTN ke Korea Selatan.

" Kita dapati permintaan tinggi produk berasaskan kenaf dari negara ini termasuk tilam yang mendapat pasaran ke negara luar seperti Korea Selatan," katanya pada sidang media selepas melancarkan eksport tilam kenaf jenama Econaf ke Korea Selatan di syarikat Coco Industry Sdn Bhd di sini, hari ini.

Samsudin berkata, LKTN mengadakan kerjasama dengan Coco Industry sejak tahun 2015 bagi tujuan penghasilan tilam berasaskan fiber kenaf dan produk ini dihasilkan di bawah jenama Econaf.

Beliau berkata, syarikat E-Kenaf juga giat menjalankan aktiviti promosi tilam kenaf di luar negara antaranya Jepun, Korea Selatan dan Australia.

Katanya, rakyat Korea Selatan dan Jepun amat menitikberatkan penggunaan produk hijau bagi menjamin kelestarian hidup.

"Selaras dengan itu, satu kontena 40 footer dilancarkan pengeksportan ke Korea Selatan dengan kuantiti sebanyak 180 biji tilam dengan nilaian hampir RM120,000

"Susulan itu pengeksportan kedua akan menyusul pada April ini ke Korea Selatan sebanyak satu kontena 40 footer," katanya.

Menurut Samsudin, tilam kenaf yang dihasilkan adalah produk mesra alam kerana ia diperbuat daripada fiber kenaf dan lateks semulajadi yang tidak dicampur dengan bahan kimia.

Katanya, tilam kenaf terkenal dengan kelebihan antaranya mampu mengimbangi dan menyokong tulang belakang, pengaliran udara lebih baik, tahan lama iaitu jaminan 10 tahun, anti bakteria, anti kulat,mesra alam, penghalau serangga semula jadi dan menyokong postir dan struktur badan.

"Fiber kenaf juga menghasilkan ion negatif yang baik untuk kesihatan manusia dan antara kebaikannya termasuk membersihkan darah secara  meningkatkan oksigen dalam sel darah merah serta meleraikan sel darah merah.

" Ia mengaktifkan sel badan bagi tujuan mengoptimumkan kadar pengambilan oksigen dan menyingkirkan sel rosak selain meningkatkan sistem imunisasi badan dan menyeimbangkan sistem saraf," katanya.

0 comments:

Post a Comment