Rumah buruk syurga kami

Kota Bharu: "Inilah syurga kami," kata Nor Fasihah Ismail, 21, sambil menunjukkan rumah uzur di kampung Sungai Limbat di sini.

Gambar kredit Berita Harian
Walaupun tinggal di sebuah rumah yang lantainya berlubang, dinding bertutup dengan kain dan bumbung bocor, namun katanya ia lebih baik daripada merempat ditepi jalan.

Katanya, hanya dia dan tiga adiknya yang lain tinggal di rumah itu, manakala ayahnya, Ismail Mat Yusof, 50, menetap di Bachok kerana bekerja di daerah itu.

"Emak, Rohana Supian, 44, yang bekerja sebagai tukang sapu terpaksa tidur ditempat kerjanya di  Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kerana tidak mempunyai kenderaan untuk pulang.

"Hanya saya bersama tiga adik, Muhammad Fahmi Arsyad, 18; Muhammad Fitri Aiman, 10 dan Muhamad Fahrin, 8, yang tinggal di sini," katanya.

Beliau yang juga bekas penuntut Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dalam jurusan Pengajian Islam berkata, dia terpaksa bekerja sebagai pembantu kedai runcit bagi menampung perbelanjaan harian.

Katanya, dengan upah yang diterima sebanyak RM20 sehari, ia hanya cukup untuk makan mereka empat beradik.

"Memang saya terfikir untuk membaiki rumah pemberian nenek ini kerana bimbangkan keselamatan kami, tetapi sukar untuk saya berbuat demikian.

"Memang ada rasa takut, terutamanya waktu malam, namun saya hanya berserah pada Allah, selain itu adik yang lain juga ada sama dan mereka mampu mempertahankan diri jika berlaku sesuatu," katanya.

Fasihah berkata, biarlah mereka berlindung dirumah buruk itu asalkan dua lagi adiknya dapat meneruskan persekolahan.

"Perbelanjaan dua adik yang masih bersekolah ditanggung oleh emak kerana walaupun susah, dia tidak mahu anaknya tercicir daripada pelajaran," katanya.



0 comments:

Post a Comment