PAS serik korban kerusi

TAIPING: PAS sudah serik korbankan kerusi kepada parti lain, dan untuk kali ini, parti itu tidak akan berbuat demikian.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebelum ini sudah banyak kali PAS korbankan kerusi demi memberi laluan kepada parti pembangkang lain dalam pilihan raya umum (PRU).

Katanya, keputusan itu muktamad kerana mereka (PAS) tidak akan menyertai pakatan pembangkang dalam menghadapi PRU akan datang.

"Walau bagaimanapun kami mengalu-alukan kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama PAS dalam memperjuangkan dasar dan prinsip dalam memenangi PRU akan datang.

"Kami tak akan sertai PH (Pakatan Harapan) atau mana-mana pakatan, ini kerana setiap kali berpakat, PAS kena korbankan kerusi yang ada.

Beliau berkata, dengan Parti Semangat 46 sebelum ini PAS terpaksa korbankan satu pertiga kerusi.

Katanya begitu juga apabila menyertai PH PAS menyerahkan kerusi kepada PKR.

"Sekarang diminta PAS untuk sertai pakatan, tetapi kalau sertai terpaksa serah (kerusi)...minta maaf tidak boleh.

"Kita (pembangkang) boleh sama-sama tumbangkan UMNO dan Barisan Nasional tetapi jangan ganggu kerusi PAS," katanya ketika berucap pada Program Ceramah Perdana di Bukit Gantang dekat sini tengah malam tadi.

Ceramah turut disertai Naib Presiden PAS, Idris Ahmad dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Tuan Ibrahim dalam ceramahnya turut mengingatkan mana-mana parti pembangkang yang lain untuk tidak cuba merampas dan menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan.

1 comment: