Murtabak bakal disajikan dalam pesawat

PASIR MAS: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan mengembangkan produk makanan tempatan sebagai makanan dalam penerbangan.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata perkara itu sudah mendapat rundingan dan persetujuan syarikat penerbangan tambah rendah, Air Asia bagi perlaksanaannya.

"Kita ada banyak produk makanan tempatan yang boleh disajikan dalam pesawat antaranya murtabak diraja, keropok lekor dan kerepek pisang.

"Sehubungan itu, saya sudah berunding dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes untuk memasarkannya dalam masa terdekat.

"Setakat ini, AirAsia mahu melihat dari segi pembungkusan, rasa dan kualiti kebersihan agar ia sesuai untuk dihidangkan kepada pelanggan ketika penerbangan,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Negaraku Prihatin anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubang Bunut, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi KADA, Datuk Md Alwi Che Ahmad dan Ahli Lembaga Pengarah KADA, Datuk Hanafi Mamat.

Ahmad berkata dengan perlaksanaan itu nanti akan memberi pendapatan tambahan kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Dalam masa sama, beliau turut memuji peningkatan hasil keluaran KADA yang semakin berkembang.

"Dahulu ada mengatakan pengeluaran KADA adalah rendah tetapi sekarang ini hasilnya sudah mencapai 6.6 per hektar menerusi tanaman padi dan itu satu angka besar," katanya.

Terdahulu, Ahmad Shaberry turut menyampaikan bantuan mesin dan peralatan bernilai keseluruhan RM129,268 kepada 29 usahawan industri makanan KADA.


0 comments:

Post a Comment