BN tetap mahu rampas Kelantan walaupun baik dengan PAS

Kota Bharu: Barisan Nasional (BN) Kelantan kekal dengan keputusannya untuk merampas negeri itu daripada PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sehubungan dengan itu, beliau menafikan pernah mengadakan pertemuan sulit dengan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkaitan dengan pengagihan kerusi.

"BN tetap mahu merampas Kelantan dan dakwaan yang  timbul dengan mengatakan kita akan bekerjasama dengan PAS adalah tidak berasas malah saya tidak pernah berbincang perkara itu dengan Ahmad.

"Jika lihat akan kerjasama yang terjalin sebelum ini, ia adalah diatas beberapa faktor tertentu yang lebih menekankan kepada kepentingan rakyat terutamanya banjir dan pelaburan," katanya.

Beliau berkata, walaupun sentiasa dilihat bersama dengan kepimpinan negeri itu, cita-cita untuk merampas balik kerusi itu tidak pernah pudar.

Katanya, pihaknya kini dalam usaha untuk menawan kembali hati rakyat dan wakil rakyat UMNO dan BN kini dalam keadaan yang cukup bersemangat.

"Cita-cita kami masih sama, tiada perubahan dan kami akan tetap berjuang untuk mengambil alik kerajaan negeri selepas terlepas tampuk pemerintahan pada 1990.

"Kita akan teruskan usaha dan bekerja keras untuk pastikan penantian selama selama 27 tahun menjadi kenyataan, Insya-Allah," katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Pidato Piala YB Tok Pa anjuran persatuan Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Sebelum ini, dakwaan bahawa Mustapa mengadakan pertemuan sulit dengan Ahmad bagi membincangkan kerjasama berkenaan tular di laman sosial.

Mustapa bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ia akan berlaku pada masa depan kerana keadaan politik yang sentiasa berubah-ubah.

"(Presiden UMNO) Datuk Seri Najib Tun Razak kata dalam politik kita tak boleh ramalkan apa yang akan berlaku, tidak ada ketentuan," katanya.

0 comments:

Post a Comment