Tumpat: Dewan Pemuda PAS kawasan Tumpat sebulat suara meluluskan usul membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR dalam satu mesyuarat yang diadakan malam tadi.
Usul yang akan dibawa ke Muktamar PAS ke-63 pada 28 April nanti itu dibentangkan oleh seorang perwakilan, Fadli Abu Bakar itu dibuat atas beberapa faktor termasuk masih mengekalkan posisinya dengan pakatan pembangkang yang dianggotai DAP dan PAN.
Pemangku ketua Dewan Pemuda PAS kawasan Tumpat, Mohd Hushaimi Hussian, berkata usul itu diluluskan dan dipersetujui 100 peratus oleh Pemuda PAS Tumpat kelmarin.
Katanya, selepas satu persatu pengkhianatan PKR lakukan terhadap PAS malah sanggup menikam dari belakang parti itu.
"Ada benarnya keputusan ini dibuat dan ia juga mendapat sokongan daripada perwakilan yang lain kerana sudah banyak perkara yang dilakukan PKR mengguris hati kami dan pemimpin PAS yang lain.
"Untuk kali ini, jika betul mereka mahu kekalkan tahaluf siyasi, maka mereka mesti menghormati prinsip perjuangan dan dasar parti kami yang ingin memperkasakan syariat serta menegakkan agama Allah," katanya ketika mesyuarat agung Dewan Pemuda PAS kawasan Tumpat kali ke-40 2017 di Wisma Ibadurrahman Kampung Paloh di sini, malam kelmarin.
Dalam mesyuarat itu juga, Fadli turut mempersoalkan penerimaan PKR terhadap keahlian Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar yang memenangi kerusi itu atas tiket PAS pada PRU-13 yang lalu.
Malah tindakan PKR yang menerima keahlian itu dianggap biadap dan meruntuhkan semangat setia kawan yang terjalin sejak sebelum PRU-13 lagi.
"Kita mendesak agar kempimpinan PAS pusta menarik balik kerusi yang dipinjamkan kepada PKR dan berharap perkara itu dapat dibincangkan dalam Muktamar yang akan datang.
"Keputusan ini adalah mewakili akar umbi Parlimen Tumpat dan kami menolak kerusi parlimen ini jatuh secara percuma ke tangan PKR kerana undi yang dibuat PRU lalu adalah atas tiket PAS," katanya.
0 comments:
Post a Comment